Penumpang tren KTM komuter berang terkandas tiga jam

Penumpang tren KTM komuter berang terkandas tiga jam

Ratusan penumpang perkhidmatan tren KTM komuter terkandas petang semalam walaupun Perdana Menteri mendakwa sistem pengangkutan awam di negara ini antara terbaik di dunia.

Penumpang komuter, Azuan Abd Rahman dari Rawang berkata, situasi paling sesak ketika waktu puncak pulang bekerja di stesen KTM Sungai Buloh apabila ramai penumpang begitu lama menunggu ketibaan tren.

“Suasana hiruk-pikuk macam baru keluar stadium tengok Sukan SEA. Ada yang mahu naik ETS balik ke Ipoh kata tunggu lebih tiga jam tren tidak sampai-sampai,” katanya.

{loadposition myposition} Paling dikesalkan, jelasnya, pihak komuter dilihat tidak membuat langkah pencegahan bagi mengelak masalah dihadapi penumpang berulang selain tiada pengumuman dari semasa ke semasa memaklumkan status ketibaan tren.

“Bukan sekali begini tetapi hari ini paling teruk. Sejak komuter terbalik beberapa hari lepas, kami dari KL terpaksa kejar MRT sampai ke Sungai Buloh sebelum sambung perjalanan guna Komuter.

“Sampai di Sungai Buloh, kami terpaksa pula berlari lagi sebab nak kejar tren. Ada ramai orang di platform tapi mereka di situ beritahu tren tiada, kena naik bas,” ujarnya.

Sehubungan itu, Azuan menggesa pengurusan KTM komuter tampil memberi penjelasan sekaligus bertindak menyelesaikan masalah kelewatan tren pada waktu puncak.

“Najib Razak perlu turun lihat betapa teruk kualiti perkhidmatan komuter. Ramai pengguna mahu Bapa Pengangkutan Awam itu naik komuter lihat mata kepala sendiri. Sudahlah kami letih balik dari kerja, terpaksa pula menunggu berjam-jam tren sampai,” katanya.

Pihak Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) juga, tambahnya lagi, tidak harus memejamkan mata terhadap masalah yang kerap dialami ribuan penumpang komuter itu.

“Saya sudah banyak kali buat aduan di Facebook SPAD tapi kemudiannya kena sekat,” luahnya kecewa.