Malaysia Dateline

Covid-19: Penuntut UM sepakat buat, edar perisai muka petugas hospital

Enam kolej kediaman di UM menghasilkan perisai muka setiap hari.

Tanpa dihinggap ‘virus’ malas sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sejumlah penuntut Universiti Malaya (UM) sepakat berganding tenaga menghasilkan perisai muka untuk kegunaan petugas barisan hadapan di hospital.

Projek ini bawah inisiatif Face Shield Heroes (FSH) atau Wira Perisai Muka iaitu gabungan 17 NGO dengan Persatuan Belia Harmoni Malaysia sebagai badan pelaksana di peringkat universiti.

Di UM, enam kolej kediaman (KK) terlibat ialah KK Tuanku Bahiyah (KK2), KK Tunku Kurshiah (KK3), KK Dayasari (KK5), KK Kinabalu (KK8), KK Tun Syed Zahiruddin (KK9) dan KK Raja Dr Nazrin Shah (KK12).

Selain mahasiswa, pihak pengurusan kolej kediaman juga turut terlibat.

Sebanyak 16 NGO lain tampil bekerjasama menjayakan inisiatif pelajar di universiti tertua di negara ini dalam memerangi ancaman Covid-19.

Tempoh PKP membolehkan mahasiswa UM berbakti kepada negara secara tidak langsung mendepani ancaman Covid-19.

Ketua FSH UM, Siti Nur Husna Tukiran memberitahu, sebanyak 9,571 perisai muka berjaya dihasilkan menghampiri sasaran 12,000 unit sebelum ini.

“Dari satu kolej kediaman ke satu kolej kediaman, kami cuba untuk untuk tembusi agar dapat memberi peluang kepada semua mahasiswa yang ‘terperangkap’ di UM mengisi masa lapang mereka dengan memberi manfaat kepada orang lain.

“Bukan senang untuk kami terus bergerak ke kolej-kolej kediaman lain memandangkan batasan kenderaan dan kekangan tenaga kami untuk menguruskan sekali gus,” katanya.

Beliau menyifatkan kesemua mahasiswa yang menyumbang tenaga sebagai sukarelawan bagi penghasilan perisai muka itu ibarat wira.

“Terima kasih kepada semua Heroes yang terlibat sama dalam usaha membantu para barisan hadapan kita di hospital. Moga usaha kita semua diberkati hendaknya,” ujar Nur Husna lagi dalam satu kenyataan hari ini.

Antara NGO yang terlibat dalam inisiatif tersebut ialah Pertubuhan Pemuda GEMA Malaysia, Malaysia Outreach Volunteer Experience – MOVE, StreetNgaji dan TikTok Malaysia.

Lebih 160 sukarelawan UM menyiapkan perisai muka di bawah projek Persatuan Belia Harmoni ini.

Sementara itu Ketua Logistik FHS, Nizam Rahman berkata, sebanyak 50 unit perisai muka yang dihasilkan pelajar kampus tersebut diserahkan kepada Klinik Kesihatan Pelajar UM dan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) hari ini.

“Saya singgah di Klinik Kesihatan Pelajar UM untuk bertemu dengan Dr Zuraidah sambil menyerahkan sebanyak 50 unit perisai muka yang masih ‘panas dari ladang’ kepada pihak klinik.

“Ketika di PPUM, saya menyerahkan 30 unit perisai muka kepada pakar otorinolaringologi (ENT), Tan Sri Prof Dr Amin Jalaludin yang juga bekas Naib Canselor UM,” ujarnya.

Nizam memberitahu sukarelawan di kampusnya konsisten menghasilkan perisai muka itu setiap hari bagi menampung keperluan mendesak sebahagian peralatan penting itu di hospital-hospital sekitar Lembah Klang.

Perisai muka yang siap diagih antaranya kepada Hospital Sungai Buloh, PPUM dan UKM Specialist Centre.

Soal diri

Mahasiswa Fakulti Sains UM itu berpendapat PKP bukan tempoh untuk penuntut ‘tersadai’ di kolej-kolej kediaman sebaliknya peluang untuk menambah kebaikan.

“Itulah sebahagian besar peranan mahasiswa, bukan sahaja memikirkan soal dirinya, tetapi dipaksa untuk memikirkan soal orang lain,” ujarnya.

Nizam berkata, sebanyak 5,637 unit perisai muka telah diedar secara berperingkat kepada Hospital Sungai Buloh yang merupakan hospital khusus untuk rawatan pesakit Covid-19.

Dalam masa sama, sebanyak 5,957 unit perisai muka diterima oleh PPUM. Turut mendapat sumbangan perisai muka daripada FSH UM ialah UKM Specialist Centre (Baru).

Untuk rekod, seramai 165 sukarelawan membabitkan mahasiswa terlibat dalam membantu merealisasikan projek tersebut.

Orang ramai yang mahu menyumbang kepada Tabung Face Shield Covid-19 boleh singgah di pautan https://www.billplz.com/faceshieldheroes.

Bagi sesiapa yang ingin memberi sumbangan dalam bentuk kebajikan kepada sukarelawan boleh hubungi Nizam Rahman di talian 017-3207191.

Nizam menyerahkan perisai muka kepada petugas di Klinik Kesihatan Pelajar UM.