Malaysia Dateline

Penurunan kes baharu Covid-19: Najib gesa KKM beri data jumlah saringan

Datuk Seri Najib Razak berharap Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi data bagi jumlah saringan dibuat serta kadar positif terkini Covid-19 apabila mengumumkan jumlah kes positif setiap hari.

Bekas Perdana Menteri tersebut berkata, rakyat juga mempunyai hak untuk tahu bahawa penurunan kes positif pandemik itu adalah akibat jumlah saringan yang banyak dikurangkan.

“Saya diberi maklumat bahawa jumlah saringan Covid-19 setiap hari dibuat KKM telah jatuh sejak minggu lepas. Akibatnya jumlah kes positif Covid-19 yang dilapor turut jatuh.

“Ramai masih tertanya-tanya kenapa jumlah kes positif turun begitu ketara tetapi jumlah kluster baru dikesan setiap hari tetap tinggi,” katanya hari ini.

Malaysia terus mencatatkan penurunan jangkitan Covid-19 dengan 2,176 kes semalam sekali gus buat kali ketiga kes baharu kurang daripada angka 3,000 dalam bulan ini.

Pada 14 Februari, kes baharu dilaporkan 2,464 kes manakala 2,764 kes dikesan pada 9 Februari.

Najib juga menegaskan kadar positif Covid-19 iaitu jumlah kes positif berbanding jumlah saringan atau “positivity rate” tetap tinggi dan melebihi kadar lima peratus.

“Bulan lepas, KKM pernah memberitahu bahawa kadar positif yang melebihi lima peratus iaitu paras minimum disarankan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan virus tersebut semakin merebak dalam masyarakat.

“Kumpulan perubatan Pusat Galen juga memberi pendapat yang sama bahawa penurunan kes positif adalah akibat penurunan jumlah saringan,” jelasnya.

Ahli Parlimen Pekan itu turut mengingatkan KKM perlu memberi data bagi jumlah saringan dibuat memandangkan pandemik tersebut merupakan soal kesihatan awam.

“Adakah penurunan yang ketara bagi jumlah saringan setiap hari akibat langkah KKM yang diumum bulan lepas bahawa KKM tidak lagi akan saring semua kontak rapat kes positif?

“Sebaliknya, hanya kontak rapat yang menunjukkan gejala akan disaring. Sedia maklum bahawa sekitar 80 peratus mereka yang positif Covid-19 tidak menunjukkan sebarang gejala,” tambahnya lagi.