Penurunan umur mengundi akan aktifkan anak muda dalam lanskap politik

Penurunan umur mengundi akan aktifkan anak muda dalam lanskap politik

Penurunan umur mengundi daripada 21 kepada 18 tahun merupakan salah satu kejayaan yang telah diperjuangkan melalui reformasi Bersih lagi.

Pengumuman tersebut merupakan suatu keputusan yang sangat progresif dan memberi manfaat yang amat besar kepada negara.

Demikian dinyatakan oleh Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Dr Afif Bahardin (gambar atas) ketika ditemui.

Malah katanya lagi, penurunan umur tersebut mencambahkan lagi penglibatan orang muda dalam menentukan lanskap politik negara.

“Selain itu ia membuka ruang yang luas bagi generasi muda untuk terlibat secara aktif untuk mencorak hala tuju negara dan siapa yang layak untuk menerajui kepimpinan.

“Keputusan ini sekiranya dapat direalisasikan akan membolehkan orang muda sebagai pengundi aktif.

“Di samping penurunan usia mengundi, banyak lagi isu lain seperti ketelusan daftar pemilih, persempadanan dan bagaimana ia dapat memberi kreditasi yang lebih tulen pada negara perlu diberi perhatian,” ujarnya lagi.

Beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Seberang Jaya turut berkata, pendidikan politik perlu bermula lebih awal apabila ia diturunkan kepada had umur 18 tahun.

Tegasnya lagi, tiada masalah akan timbul seandainya perkara ini dibincang secara terbuka termasuklah di peringkat sekolah rendah dan menengah.

“Apabila pelajar-pelajar sekolah menengah tamat alam persekolahan, mereka telah layak untuk menjadi pengundi.

“Sehubungan itu kabinet perlu mengambil inisiatif untuk pertimbangkan agar pendaftaran secara automatik dibuat bukan saja pada usia 18 tahun, tetapi apabila cukup saja umur 18 tahun maka telah layak untuk menjadi pemilih.

‘Ketika ini proses sebagai pengundi mengambil masa antara tiga hingga enam bulan untuk dimasukkan nama ke dalam daftar pemilih dan memakan masa yang agak lama,” tambahnya lagi.

Maka itu katanya, dalam industri revolusi 4.0 kini pangkalan data yang hendak dibina harus lebih komprehensif, terjamin keselamatannya serta lebih telus.

Pangkalan data yang hendak dibina tersebut haruslah dipastikan benar-benar tulen dan mewakili seluruh rakyat dan pengundi dalam negara ini.

Ujarnya lagi, seandainya ini dapat menjadi kenyataan maka ia merupakan kejayaan yang amat besar kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang menerajui kepimpinan negara.

COMMENTS

Wordpress (0)