Penutupan akaun kerajaan lebih lewat pada 21 Disember 2018

Penutupan akaun kerajaan lebih lewat  pada 21 Disember 2018

Penutupan akaun kerajaan pada 2018 buat pertama kalinya dibuat lebih lewat iaitu pada 21 Disember berbanding kaedah biasa pada 15 November bagi memastikan fungsi kerajaan tidak terhenti terlalu lama sebelum memasuki tahun baharu, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau berkata penutupan akaun kerajaan pada bulan November yang diamalkan terdahulu menyukarkan urusan kerajaan berikutan pembayaran tidak boleh dibuat dalam tempoh lebih sebulan.

“Sungguhpun buat kali pertama kita tutup (akaun) pada 21 Dis, kita bersyukur baki masih ‘surplus’ (lebihan), tiada defisit.

“Ini menunjukkan pengurusan kewangan yang baik berdasarkan cekap, amanah dan telus (CAT) dan itu menunjukkan sistem yang mengikut aturcara dan prinsip perakaunan yang diterima di peringkat antarabangsa,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Cek Kepada Sekolah Pondok Berdaftar, di sini hari ini.

Menurut Lim, amalan menutup akaun pada bulan November seperti diamalkan kerajaan terdahulu adalah tidak profesional dan dibuat untuk tujuan politik.

“Untuk tunjukkan akaun cantik, cepat-cepat tutup akaun. Tetapi sebulan setengah kerajaan tidak berfungsi dan ini sangat tidak bertangunggjawab,” katanya.

Terdahulu, beliau menyerahkan peruntukan sebanyak RM25 juta di bawah Belanjawan 2019 untuk sekolah pondok berdaftar kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.-BERNAMA.

Loading...