Penutupan dua sekolah ambil langkah kawal penularan wabak beguk, kata KKM

Penutupan dua sekolah ambil langkah kawal penularan wabak beguk, kata KKM

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil langkah bagi mengawal penularan penyakit beguk (mumps) di dua buah sekolah di Gombak dan Kelang.

Dalam kenyataan KKM hari ini kejadian wabak beguk di kalangan pelajar di sebuah sekolah di Kajang telah dilaporkan pada 14 Ogos 2018 lepas, telah diambil tindakan kawalan dan pencegahan termasuk pengasingan pelajar dan pendidikan kesihatan sejak kluster ini dilaporkan.

Namun begitu, KKM menjelaskna, masih berlaku penularan jangkitan akibat pergaulan pelajar yang berterusan, walaupun arahan pengasingan kes telah diberikan.

“Penutupan sekolah dari 23 Oktober 2018 hingga 9 November 2018 adalah sebagai salah satu langkah memutuskan rangkaian jangkitan beguk.

“Manakala pelaporan kejadian sama di sebuah sekolah di Gombak pula diterima pada 16 Oktober 2018 dan sekolah ditutup dari 24 Oktober 2018 hingga 6 November 2018 untuk tujuan yang sama.

“Semua pelajar yang terlibat dari kedua – dua sekolah ini berada dalam keadaan stabil dan telah mendapatkan rawatan,” kata kenyataan dari Kementerian Kesihatan Malaysia.

Dua buah sekolah iaitu Sekolah Menengah (SM) Agama Persekutuan Kajang, Selangor dan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Integrasi Gombak, Selangor telah diarahkan tutup sementara ekoran jangkitan wabak beguk.

Menurut kenyataan daripada Kementerian Pelajaran, Notis Perintah Tutup Premis terhadap kedua-dua sekolah itu telah dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Notis penutupan terhadap SM Agama Persekutuan Kajang telah dikeluarkan pada 23 Oktober lalu bagi tempoh sehingga 9 November depan manakala notis penutupan SBP Integrasi Gombak dikeluarkan pada 24 Oktober lepas bagi tempoh juga sehingga 9 November ini.