Malaysia Dateline

Penutupan Klinik 1Malaysia ambil kira impak minimum terhadap masyarakat

Kementerian Kesihatan menjelaskan keputusan menutup 34 daripada 347 Klinik 1Malaysia (K1M) dibuat setelah mengambil kira impak yang minimum terhadap masyarakat setempat.

Menterinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata kerajaan sangat prihatin terhadap kebajikan golongan masyarakat berpendapatan rendah (B40), dan kerana itu, K1M di projek perumahan rakyat (PPR) tidak ditutup meskipun purata kehadiran pesakit kurang daripada 40 pesakit sehari.

Beliau berkata purata kehadiran pesakit itu merupakan antara kriteria pemilihan bagi penutupan sesebuah K1M selain terdapat fasiliti kesihatan kerajaan lain dalam lingkungan jarak lima kilometer dari K1M dan dipersetujui Jabatan Kesihatan di negeri yang berkenaan.

Menjelas lanjut, katanya walaupun kementerian menetapkan kriteria-kriteria berkenaan, setiap K1M yang dipilih untuk ditutup akan turut dinilai secara eksklusif bagi memastikan keputusan bagi penutupannya adalah benar-benar wajar.

“Setelah melalui proses penilaian yang komprehensif, sebanyak 34 buah K1M yang akan ditutup kerana memenuhi kriteria-kriteria ini. Keputusan ini diambil kira bagi memastikan impak penutupan yang minimum terhadap masyarakat setempat,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Beliau mengulas kenyataan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di laman facebook berhubung penutupan klinik berkenaan.

Dr Dzulkefly berkata proses penutupan fasiliti K1M adalah secara ‘soft landing’ iaitu sehingga tamatnya tempoh sewaan premis masing-masing sementara kakitangan di fasiliti K1M terlibat akan ditempatkan semula ke Klinik Kesihatan Induk masing-masing.

Dalam pada itu, beliau berkata sejumlah 293 K1M akan ditambah nilai menjadi Klinik Komuniti dengan penempatan Pegawai Perubatan dan Pegawai Farmasi di fasiliti terpilih, manakala 20 buah lagi dinaik taraf kepada Klinik Kesihatan.

Sementara itu, di Ipoh, Dr Dzulkefly berkata Klinik Komuniti yang menggantikan K1M, dijangka dilancarkan pada pertengahan tahun depan dan kementerian kini dalam proses untuk mendapatkan peruntukan bagi pelaksanaannya.

Beliau ditemui pemberita di Konvensyen Parti Amanah Negara 2018 hari ini selepas melawat penderma darah dalam kempen yang diadakan sempena konvensyen itu di Pusat Konvensyen Casuarina, Meru.

— BERNAMA