Malaysia Dateline

Penutupan tapak pelupusan sampah Ladang CEP 1 berkuatkuasa hari ini, kata Zuraida

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah menghentikan sepenuhnya operasi pelupusan sisa pepejal di Tapak Pelupusan Ladang CEP 1 berkuat kuasa hari in berikutan laporan limpahan air larut resap ke sungai berhampiran.

Menterinya Zuraida Kamaruddin berkata, KPKT telah mengarahkan pihak operator untuk menempatkan tiga Mobile Leachate Treatment Plant (MLTP) di tapak bagi meningkatkan kapasiti rawatan air larut resap bermula pada esok (27 Mac 2019).

“Sementara itu, sisa pepejal dari PBT yang terlibat akan dihantar ke Tapak Pelupusan Seelong. Air larut resap yang bertakung di dalam sel di tapak pelupusan sedia ada akan dipindahkan menggunakan lori tangki ke Tapak Pelupusan Seelong mulai pada 27 Mac 2019 untuk dirawat dengan segera,” ujarnya.

Beliau juga berkata Ketua Setiausaha KPKT juga akan mempengerusikan Mesyuarat Koordinasi pada esok bersama agensi-agensi terbabit seperti MESTECC, Jabatan Alam Sekitar, Unit Perancang Ekonomi Negeri Johor, Badan Kawal Selia Air Johor, Syarikat Air Johor, agensi Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri bagi mengenalpasti kesan air larut resap kepada sungai berdekatan.

Katanya, Kerajaan Persekutuan mula mengambil alih operasi tapak pelupusan ini pada April 2017 dan menaik taraf kepada jenis pelupusan sanitari yang telah siap pada Februari 2018, yang mana termasuk kerja menaik taraf dengan penambahan sel baharu.

Tapak ini menerima anggaran sebanyak 500 tan sisa pepejal sehari daripada tiga (3) Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) iaitu Majlis Perbandaran Kluang, Majlis Daerah Simpang Renggam dan Majlis Perbandaran Batu Pahat.

Tapak Pelupusan Ladang CEP 1, Simpang Renggam telah mula beroperasi pada tahun 2003 dengan keluasan 6 hektar. Tapak pelupusan ini pada mulanya dioperasikan oleh Majlis Daerah Simpang Renggam secara pelupusan terbuka.

Pada tahun 2010, Kerajaan Persekutuan telah melaksanakan kerja penutupan selamat di sebahagian tapak termasuk membina Loji Rawatan Air Larut Resap (Leachate Treatment Plant) yang berkapasiti 150 m3 sehari dan kerja ini telah disiapkan pada tahun 2012.

“Dengan tindakan segera ini, Kerajaan Persekutuan berharap isu limpahan air larut resap dari tapak pelupusan Ladang CEP 1 dapat diatasi dengan kadar segera,” ujarnya.

Sebelum ini Ahli Parlimen Simpang Renggam Dr Maszlee Malik memberi jaminan bahawa limpahan larut resapan daripada tapak pelupusan sampah Ladang CEP 1 di Renggam, Johor berada dalam keadaan terkawal dan tidak mencemarkan sungai.

Beliau yang juga Menteri Pendidikan berkata pihaknya akan memastikan limpahan larut resapan itu tidak akan mencemari air sungai yang menjadi sumber bekalan air mentah untuk dirawat sebelum dibekalkan kepada penduduk.