Penyakit ‘inklusif’ menteri-menteri Pakatan Harapan

Penyakit ‘inklusif’ menteri-menteri Pakatan Harapan

 

Tidak ramai orang sedar dan tidak semua orang yang sedar itu mahu mengakuinya. Ramai yang percaya atau menganggap itu adalah kelemahan kerajaan sekarang. Bahkan ramai juga yang percaya atau menganggap itu adalah kebodohan kerajaan sekarang; yakni kebodohan sebahagan menterinya. Dan dalam keadaan begitu, ramailah pula yang cerdik mengambil kesempatan, mempergunakan keadaan yang keliru itu untuk kepentingan pihak tertentu.

Misalnya, entah mana datangnya dan entah apa puncanya dan entah bagaimanalah bermulanya – ada beberapa orang menteri yang suka sangat dengan kata “inklusif”. Suka dan percaya. Dengan kemenangan yang sedang dikecapi dan apatah lagi kuasa yang sedang dinikmati, mereka percaya bahawa mereka sewajarnya bersikap “inklusif”; yakni menerima siapa sahaja. Itulah sikap terbuka Malaysia baharu kononnya.

Tidak ada lagi orang yang menjadi lawan kita atau musuh kita. Sekarang semua orang adalah orang kita. Maka dapatlah kita lihat betapa rancaknya mereka menghadiri majlis-majlis yang dianjurkan oleh pihak-pihak yang sebelum ini bukan sahaja memusuhi gerakan Reformasi tetapi juga menolak dan menafikan hak orang-orang yang tidak menyokong Umno-BN.

Begitu sekali rancak dan ghairahnya mereka melayani “puak-puak di sebelah sana” itu sehingga mereka terlupa akan wujudnya “puak-puak di sebelah sini” yang selama ini menyokong perjuangan mereka dan berjuang bersama-sama dengan mereka. Maka jadilah puak-puak ini sebagai puak-puak terpinggir di zaman Umno-BN dan juga terpinggir di zaman PH.

Itu “inklusif”, kata mereka. Dan inklusif itu adalah nilai baru dalam Malaysia baharu.

Tidak ada salahnya pada kata dan konsep inklusif itu. Yang salahnya ialah menteri-menteri dan timbalan menteri yang jadi ghairah dengan kata itu (dan juga dengan nikmat kuasa di tangan mereka yang juga mereka ghairah hendak mempamerkannya) hingga mereka jadi semacam “mabuk” dan terlupa diri.

Kalau tidak tentulah Anwar Ibrahim (bakal Perdana Menteri ke-8) tidak akan menegur bahawa sudah ada pemimpin PH yang berani mempamerkan kekayaan diri mereka. Baru setahun berkuasa pemimpin-pemimpin Malaysia baharu yang baru tadi menunjukkan diri mereka sebagai pemimpin rakyat yang membawa suara dan kesedaran rakyat, kini sudah berubah menjadi pemimpin elit yang kaya dan ghairah dengan kuasa.

Ok, balik kepada persoalan “inklusif” tadi. Di satu pihak kita menyaksikan mereka berbangga mempamerkan sikap inklusif menerima orang-orang di sebelah sana ke dalam kalangan pimpinan baharu, manakala di satu pihak lagi kita menyaksikan pula menteri-menteri dan bahkan Perdana Menteri sendiri merungut bahawa mereka susah bekerja dengan pegawai-pegawai kerajaan lama yang masih mengamalkan sikap dan cara lama dan tidak bekerjasama melaksanakan pendekatan baru di bawah pimpinan baru PH.

Keliru, adalah gambaran keadaan masyarakat Malaysia baharu hari ini. Keliru di pihak pimpinan (pelbagai peringkat daripada menteri hinggalah pimpinan di jabatan-jabatan dan agensi-agensi berkaitan) dan juga di pihak masyarakat dan rakyat. Dan sehingga sekarang setelah setahun nampaknya belum ada usaha yang dilakukan secara sedar dan bersungguh bagi menyelesaikan masalah itu.

Antara peristiwa terbaru yang paling ketara menunjukkan betapa kelirunya pihak kerajaan PH misalnya, ialah pemberian anugerah berkaitan media yang diberikan kepada seorang tokoh yang semua orang tahu bahawa dia adalah penentang tegar gerakan Reformasi dan gerakan menjatuhkan kerajaan kleptokrat Najib.

Memang bukan kerajaan yang mengeluarkan anugerah itu tetapi ia disampaikan oleh seorang menteri. Bermakna pihak kerajaan bersetuju memberi anugerah itu kepada tokoh penentang gerakan Reformasi yang kini membentuk kerajaan PH. Apakah isyaratnya kepada rakyat kalau bukan kekeliruan yang melampau hingga seperti memperbodohkan…

(Memperbodohkan siapa? Anda fikirlah sendiri. Saya malas menyebutnya.)

Bagi orang ramai peristiwa itu mungkin satu peristiwa kecil sahaja bagi segolongan kecil masyarakat. Ramai orang tidak sedar pun adanya peristiwa itu. Tetapi ia dengan amat jelas menunjukkan betapa kelirunya kerajaan PH hari ini – seolah-olah ia tidak tahu apa sedang berlaku dan ke mana ia sedang menuju, dan seolah-olah ia tidak mempedulikan apa sebenarnya sedang terjadi kepada masyarakat dan rakyat.

Mereka terlalu sibuk. Kononnya terlalu sibuk memperbaiki negara yang telah rosak teruk di tangan kerajaan dahulu. Kita boleh tanya: Terlalu sibuk memperbaiki apa sedangkan dalam masyarakat hari ini pun banyak kerosakan baru sedang berlaku?

Keadaan masyarakat kita hari ini kalaulah dilihat pada apa yang tercermin di media sosial, amatlah teruk dan mengerikan – seolah-olah tidak lagi mengenal adab dan akhlak (sedangkan Rasulullah diutuskan untuk menyempurnakan akhlak manusia). Apakah benar pandangan yang mengatakan kini sedang menjelma sebuah masyarakat anarkis, yang kurang nilai kewarasannya?

Persoalan kita hari ini sebenarnya ialah persoalan nilai. Satu persoalan yang sangat diabaikan oleh kerajaan hari ini. Maka itulah hasil atau akibatnya. Apakah ini kerana semua pimpinan yang ada hari ini semuanya bertumpu usaha untuk memulihkan ekonomi dan perdagangan?

Kalau betul begitu, kenapa tidak dilantik saja seorang menteri (yang dilengkapi segala keperluan kementeriannya) untuk memberi perhatian kepada permasalahan nilai dalam masyarakat yang dirosakkan oleh pimpinan Najib ini?

Tetapi ada juga pandangan yang mengatakan permasalahan nilai dalam masyarakat kita hari ini bukannya akibat pimpinan Najib, tetapi adalah hasil daripada kepemimpinan baru PH. Nah, yang mana satu yang betul? Najibkah yang merosakkan kita atau pimpinan baru PH?

Ramai kawan-kawan saya di kalangan seni dan sastera yang sememangnya tidak memihak kepada gerakan Reformasi dulu, sangat kuat percaya bahawa yang merosakkan masyarakat hari ini bukannya Najib, tetapi adalah pimpinan PH yang serba kekurangan dan tidak berpengalaman memerintah negara.

Saya memang tidak bersetuju dengan mereka. Saya dan beberapa orang kawan dalam PAKSI dan ZKN. Tetapi apa yang kami boleh buat, dengan menteri-menteri yang ghairah “inklusif” itu?