Malaysia Dateline

Penyaluran maklumat bantuan kepada golongan B40 perlu diperbaiki, kata NGO

Persatuan Hindu Pulau Pinang mahu kerajaan negeri memperbaiki mekanisme untuk menyebarkan maklumat mengenai penyaluran bantuan kepada golongan berpendapatan rendah B40 di negeri ini.

Presidennya, P. Murugiah berkata ramai individu dalam kumpulan B40 tercicir daripada menerima bantuan yang diberikan oleh kerajaan kerana mereka tidak tahu bagaimana dan di mana untuk mendapatkannya.

“Kebanyakan mereka dalam kumpulan B40 tidak tahu mengenai manfaat yang mereka dapat dan mesti ada sistem yang tepat untuk manfaat ini diketahui,” katanya kepada Bernama, di sini, hari ini.

Persatuan Hindu Pulau Pinang adalah antara persatuan bukan kerajaan di Pulau Pinang yang terlibat secara aktif dalam perkhidmatan kebajikan dan komuniti, termasuk perundingan perubatan percuma kepada golongan yang kurang bernasib baik di negeri ini.

Murugiah berkata bantuan untuk kumpulan B40 sangat diperlukan dan beliau berharap keprihatinan dan komitmen kerajaan negeri untuk membantu golongan ini akan terserlah dalam Belanjawan Negeri 2020 yang dijangka dibentangkan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, Jumaat ini.

Murugiah berkata, penduduk kumpulan bawahan di Pulau Pinang tidak dapat mengatasi kemajuan yang yang pesat di negeri ini untuk mencari pendapatan yang mencukupi bagi menampung peningkatan kos sara hidup.

Beliau berkata subsidi untuk menikmati kemudahan perumahan kos rendah, tuisyen percuma untuk anak-anak dan pengangkutan bas sekolah yang berpatutan, adalah antara kehendak penduduk untuk dimasukkan dalam belanjawan negeri tahun depan.