Penyanyi dan komposer lagu ‘hasrat’, Amir Jahari tidak berkenan apabila salah seorang Ahli Parlimen Perikatan Nasional menggunakan lagu miliknya untuk tujuan agenda politik.
Ia selepas tindakan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati memuat naik visual sepanjang himpunan solidariti terhadap Presiden Bersatu, Tan Sri Mahiaddin Md Yasin, dengan menggunakan lagu ciptaan Amir.
Atas sebab itu, Amir tampil meninggal komen di Twitter Srikandi Bersatu itu dengan mengatakan dia tidak mengizinkan lagu yang diciptanya diguna untuk tujuan dan agenda politik.
Apatah lagi ia boleh menyemarakkan kemarahan orang lain, kata Amir.
“Aku tak izinkan kau guna lagu aku untuk agenda politik. Kau boleh pakai, tapi aku tak izinkan. Pandai-pandai jjawab dalam kubur nanti.
“Untuk kalian semua nak guna lagu OST Imaginur Hasrat, saya izinkan selagi bukan untuk agenda politik dan bukan untuk menjadi batu api,” komen Amir.
Tidak hanya itu, Pengurus kepada Amir iaitu Joe Lee turut membuat gesaan agar Mas Ermieyati memadam video berkenaan kerana tidak mendapat keizinan untuk menggunakan lagu ‘hasrat’.
Joe dalam ciapannya meminta agar hak cipta sesuatu karya dihormati dan sekiranya Ermieyati enggan menurunkan video tersebut, tindakan seterusnya akan diambil.
Pada semalam, politik negara panas dengan himpunan penyokong-penyokong Tan Sri Mahiaddin Md Yasin yang berkumpul di perkarangan kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.
Himpunan itu sebagai tanda solidariti terhadap Pengerusi Perikatan Nasional itu yang dihadapkan ke mahkamah atas dakwaan salah guna dana kerajaan Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) yang bernilai RM232 juta.
Baca juga: Anak kakitangan kerajaan tayang kemewahan di media sosial, bapa disoal siasat