Malaysia Dateline

Penyanyi lagu patriotik positif Covid-19

Penyanyi era 1990-an yang dikenali menerusi lagu patriotik, Roy atau nama sebenarnya, Mohammad Rauzan Alwi mengesahkan dirinya positif Covid-19, malam tadi.

Roy, 57, sejak 23 Januari lalu dimasukkan ke Hospital Banting akibat sesak nafas, selain dijangkiti kuman dalam paru-paru.

Bekas peserta program realiti Gegar Vaganza musim keenam itu juga kini menjalani rawatan dan tempoh kuarantin di Hospital Sungai Buloh.

“Saya terima berita ini dengan tenang kerana memang sudah dijangka. Saya kini mengalami sesak nafas, batuk kuat dan kekurangan oksigen.

“Hasil pemeriksaan, doktor memaklumkan keadaan saya kritikal, tetapi masih boleh dikawal,” katanya yang masih dalam keadaan lemah ketika dihubungi BH Online.

Mengulas keadaan keluarganya, penyanyi lagu Kau Ratnaku itu memberitahu mereka kini sedang menjalani tempoh kuarantin di rumah.

“Setakat ini, keluarga saya okay, tetapi mereka perlu menjalani kuarantin kendiri di rumah. Tiada siapa yang mahu dijangkiti virus ini, namun saya reda dengan apa yang berlaku.

“Terima kasih kepada peminat yang sentiasa mendoakan kesihatan saya kembali pulih seperti sedia kala,” katanya lagi.

Sehingga semalam, sebanyak 186,849 kes Covid-19 di negara ini dengan keseluruhan kes kematian mencecah 689 kes iaitu 0.4 peratus.

Terdapat 41,076 kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 di negara ini termasuk 261 pesakit menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) dan 101 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.