Malaysia Dateline

Penyanyi Lelaki Popular umum nikah 19 November ini

Penyanyi muda Haqiem Rusli membuat kejutan apabila mengumumkan bakal mendirikan rumah tangga dalam Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34 sebentar tadi.

Penyanyi yang mempertahankan trofi Penyanyi Lelaki Popular Xiaomi itu mengumumkan tarikh pernikahannya pada 19 November depan ketika menerima anugerah tersebut.

“Saya nak umum sedikit, Alhamdulillah pada 19 November ini saya akan bernikah. Jadi, saya minta doa yang baik-baik daripada anda semua,” katanya.

Pemilik nama Ridzuan Haqiem Rusli, 23, berkenaan sebelum ini memberitahu mengenali bakal isterinya, sejak dua tahun lalu.

Artis naungan FMC Music itu juga mengumumkan akan melancarkan lagu terbaharunya pada hari pernikahannya nanti.