Malaysia Dateline

Penyanyi ‘Negara Kuku’, Namewee kumpul RM1 juta untuk beli peralatan hospital

Namewee adalah penyanyi rap Malaysia yang terkenal bukan sahaja di negara ini bahkan juga di luar negara terutama di kalangan yang bercakap bahasa Mandarin.

Sebelum ini beliau dikecam kerana mempermainkan lagu Negara Ku dengan lagu “Negara Kuku”.

Namun Namewee mengejutkan banyak pihak apabila berjaya memujuk seorang ahli perniagaan agar menyumbangkan RM1 juta untuk membolehkan beliau membeli peralatan hospital di seluruh negara yang kini sedang berada dalam suasana kritikal.

Melalui video klip 25 minit Namewee menunjukkan bagaimana beliau berusaha untuk mendapatkan RM1 juta itu bagi membeli peralatan hospital bagi melawan Covid-19.

Walaupun ia dibuat dalam Mandarin, video klip ini disertakan dengan sarikata bahasa Malaysia dan juga Inggeris.

Rakaman itu dibuat beliau di sebuah hotel di Taiwan, selepas berjaya mengumpulkan duit itu semasa beliau di Kuala Lumpur dua minggu lalu.

“Saya menghubungi hampir kesemua hospital kerajaan di Malaysia bagi bertanya khabar,” kata Namewee dalam video klip yang sangat memberikan kesan yang besar itu.

Antara hospital yang dihubungi beliau adalah Hospital Sungai Buluh, Hospital Selayang dan juga Hospital Tawau di Sabah.

Namewee memperdengarkan rakaman perbualan beliau dengan petugas ketiga-tiga hospital berkenaan.

Usaha Namewee bermula dengan memungut wang untuk memberikan makanan kepada golongan yang memerlukan tetapi ia berakhir dengan usaha beliau untuk mengumpulkan sumbangan bagi membeli peralatan hospital kerana bagi beliau ini yang sangat diperlukan sekarang.

Selepas menghubungi semua hospital dan mengetahui apa yang mereka perlukan, Namewee menghubungi seorang ‘boss’ yang sebelum ini membuat usahasama dengan beliau.

Beliau meminta sumbangan RM1 juta untuk membelikan peralatan hospital tersebut.

Sehari selepas itu, dia telah menghubungi balik ‘boss’ itu selepas mereka berbincang dengan lembaga pengarah syarikat, mereka bersetuju menyumbangkan RM1 juta untuk membeli peralatan hospital itu.

Selepas 15 jam disiarkan di Youtube, hampir setengah juga orang telah menonton video ini.

Klik untuk ikuti video klip 25 minit yang penuh kejutan ini.