Malaysia Dateline

Penyatuan dan rekod Shafie kunci kejayaan Warisan

Penyatuan Warisan Plus dan rekod baik pentadbiran Warisan pimpinan Datuk Seri Shafie Apdal menjadi kunci kejayaan parti itu dan rakan-rakannya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini.

Malah pentadbiran Shafie selama 22 bulan yang bebas dari rasuah dan penyelewengan merupakan satu reformasi tadbir urus selaras dengan agenda Pakatan Harapan (PH) selama ini.

Demikian dinyatakan oleh Ahli Jawatankuasa AMANAH Nasional yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir, Faiz Fadzil (gambar).

Jelasnya, rakyat Sabah telah begitu lama hidup susah. Namun begitu kini mereka telah boleh menarik nafas lega setelah kerajaan pimpinan Shafie berjaya meluluskan lebih 10,000 geran tanah kepada rakyat Sabah.

“Terbukti kebajikan rakyat Sabah terpelihara dan dijaga dengan baik apabila kerajaan dapat mentadbir dengan cekap dan bersih.

“Oleh kerana itu, calon AMANAH di Tanjung Keramat mampu untuk meraih sokongan pengundi hasil keyakinan dan kepercayaan rakyat Sabah terhadap kepimpinan yang telah terserlah semasa pentadbiran kerajaan Shafie sebelum ini.

” Sebetulnya tiada alasan bagi rakyat Sabah untuk memilih BN maupun PN kerana telah ternyata begitu ketara mereka gagal untuk menjaga kebajikan rakyat Sabah selama pemerintahan mereka,” ujar beliau.

Menurut Faiz lagi, dengan mengekalkan Warisan untuk meneruskan kesinambungan perjuangan mentadbir Sabah akan menyelamatkan kekayaan Sabah daripada terus dirompak.

Tambah beliau, dakwaan Datuk Bung Mokhtar kononnya Umno berubah adalah mengelirukan kerana ramai pemimpin utama parti tersebut kini sedang berhadapan dengan kes mahkamah kerana pelbagai kes membabitkan korupsi.

Ironinya kata Faiz, Bung Mokhtar sendiri masih didakwa dan tiada permohonan maaf daripada beliau.

“Oleh kerana Warisan, Upko, AMANAH, PKR dan DAP dapat menyelesaikan isu pembahagian kerusi, rakyat Sabah akan lebih yakin dengan gabungan ini kerana ia dilihat lebih stabil dan kuat.

“Kestabilan politik adalah penting kerana ia boleh menjamin kerajaan dapat menguruskan pentadbiran dengan lebih baik tanpa diganggu-gugat.

“Pertembungan 17 kerusi BN dan PN menunjukkan ketidaksatuan mereka, sebaliknya yang menyatukan mereka adalah kuasa dan bukannya rakyat,” tegasnya.

Beliau turut optimis pengundi Sabah akan memberi pengajaran kepada BN dan PN yang cuba melakukan kudeta di Sabah sebelum ini sehingga dapat menyaksikan wujudnya wakil rakyat lompat di Sabah.

Ia juga berkata, satu signal akan dihantar oleh rakyat Sabah terhadap budaya lompat parti oleh BN atau PN dan penyatuan Warisan Plus ketika ini menjadi dorongan kuat bagi mendapat kepercayaan rakyat Sabah termasuk di Tanjung Keramat.

Disamping itu ujar Faiz, faktor peribadi calon AMANAH, Rosdy Wasli juga menjadinfaktor penentu tarikan pengundi untuk mengundi beliau Sabtu ini.

“Sepanjang membantu jentera AMANAH bersama Warisan berkempen di Tanjung Keramat, didapati Rosdy cukupnpopular dikalangan masyarakat dan mempunyai budi pekerti yang tinggi.

” Adalah diyakini dengan penggunaan logo yang satu iaitu Warisan akan melonjak sokongan pengundi di Tanjung Keramat kerana Warisan adalah lambang penyatuan rakyat Sabah yang dapat hidup bersatu padu walaupun pelbagai etnik.

“Warisan mampu untuk mengangkat martabat dan maruah rakyat Sabah setaraf penduduk Semenanjung sejajar dengan perjankian Malaysia 1963 dan perjuangan ‘Sabahan for Sabah’ lebih betmakna bersama Warisan,” saran beliau.

Maka itu katanya, menggunakan logo Warisan adalah strategi tepat untuk menang buat kali pertama di Sabah dan semangat setiakawan yang ditunjukkan AMANAH ini akan membawa suatu perubahan besar dalam kompas politik pakatan dalam negara ini.