Malaysia Dateline

Penyatuan Melayu: Umno tiada masalah berjumpa sekali lagi dengan Dr Mahathir

Perubahan sikap Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung soal penyatuan Melayu disambut baik oleh Umno.

Naib Presiden Umno merangkap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kesedaran Dr Mahathir berkenaan hal membabitkan penyatuan penduduk majoriti di negara ini adalah disambut baik.

Ismail dalam artikel panjangnya di akhbar Utusan Malaysia hari ini berkata, beberapa pertemuan antara pemimpin tertinggi Umno dengan Dr Mahathir telah diadakan sebelum ini.

Walau bagaimanapun, beliau memberitahu, Dr Mahathir yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) pada masa itu tidak menerima agenda penyatuan Melayu tersebut.

“Saya percaya demi masa depan orang Melayu selepas PRU-14 pun, Presiden Umno, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sendiri pun telah berjumpa dengan Dr. Mahathir secara empat mata.

“Ia disusuli oleh saya yang menyertai Presiden, Timbalan Presiden dan dua naib presiden lain juga bertemu Dr. Mahathir bercakap soal penyatuan Melayu selain mengetepikan perselisihan pandangan demi kepentingan Islam dan Melayu.

“Tetapi waktu itu Dr. Mahathir tidak boleh terima kerana mungkin melihat Umno ini sebagai musuh nombor satu agaknya.

“Mungkin kini beliau telah berubah fikiran dan kita sambut baik perubahan sikap beliau,” kata Ismail Sabri yang merupakan Ahli Parlimen Bera, Pahang.

Sehubungan itu, beliau berkata, tiada masalah untuk Umno bertemu sekali lagi dengan Dr Mahathir berhubung isu Melayu.

Namun, tegasnya, keputusan akhir Umno bergantung pada Majlis Tertinggi (MT) Umno.

“Dan untuk berjumpa sekali lagi, kita tidak ada masalah. Tetapi saya perlu ingatkan di sini bahawa Umno sebuah parti besar yang mempunyai peraturan dan perlembagaannya sendiri. Semua keputusan mesti dibuat oleh Majlis Tertinggi (MT),” katanya lagi.

Ismail Sabri Yaakob

Mengulas soal penyatuan Melayu seperti disebutkan Dr Mahathir baru-baru ini, Ismail berkata, pihaknya berterima kasih atas kesedaran tokoh berusia genap 94 tahun itu.

“Tetapi yang sebenarnya Umno-Pas telah pun memulakan. Bagaimanapun apabila Tun Dr. Mahathir Mohamad menyatakan supaya bubarkan Umno masuk ke Bersatu, ia agak mustahil untuk direalisasikan,” ujarnya.

Menurut Ismail Sabri, Umno-Pas telah pun mendahului dari segi gerakan menyatupadukan Melayu dengan menyaksikan undi orang Melayu kepada Umno dan Pas adalah sebanyak 75 peratus daripada jumlah keseluruhan orang Melayu yang mengundi pada PRU-14.

“Sebanyak 10 peratus untuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan 15 peratus lagi dikongsi bersama PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah).

“Jadi, 75 peratus pengundi Melayu yang sokong ini apabila digabungkan, menunjukkan kekuatan Melayu itu sudah pun dirintis oleh Umno-Pas,” hujah Ismail Sabri lagi.

Pada 5 Julai lalu, Dr Mahathir mempelawa semua parti politik Melayu termasuk Umno menyertai Bersatu bagi menguatkan kuasa politik Melayu memandangkan Melayu kini sudah berpecah kepada enam parti.

Pada masa sama, Dr Mahathir berpendapat penubuhan lebih banyak parti tidak akan menyelesaikan masalah yang timbul.

Beliau turut memberi respons terhadap kenyataan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menolak untuk menyertai Bersatu.

“Presiden (Zahid) tolaklah, ahli masuk. Presiden nak masuk pun kita tak bagi,” seloroh Dr Mahathir.

 

‘Pertemuan biasa’

Cakap-cakap tentang penyatuan Melayu pasca PRU-14 melalui penyertaan pemimpin Umno ke dalam Bersatu dilihat semakin ketara sehingga ke tahap pertemuan semuka dengan Dr Mahathir.

Pada September 2018, Dr Mahathir dilapor mengakui terdapat pemimpin Umno yang bertemu dengannya.

Ketika ditanya media wujudnya perbincangan untuk menarik pemimpin Umno terutama Ahli Parlimen untuk menyertai Bersatu, Dr Mahathir berkata, sesiapa sahaja boleh bertemu dengannya dan pemimpin Umno juga bebas bertemu sesiapa sahaja.

Walau bagaimanapun, Dr Mahathir berkata, hal berkaitan sama ada bekas Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyatakan hasrat menyertai Bersatu dalam pertemuan tidak dibincangkan.

“Beliau datang untuk berjumpa, tiada apa-apa tentang menyertai Bersatu. Beliau ada perancangannya sendiri, lebih baik kamu tanya beliau,” dipetik dari laporan Bernama 21 September tahun lalu.

Selanjutnya, pada Disember tahun lalu, tular dua keping gambar di media sosial yang memperlihatkan pemimpin kanan Umno mengadakan pertemuan bersama Dr Mahathir.

Kedua-dua gambar itu kemudiannya disahkan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Datuk A Kadir Jasin yang sebenarnya berlaku pada 22 Oktober 2018 atas permintaan lima pemimpin Umno tersebut.

Barisan pemimpin itu adalah Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan; Bendahari Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan bekas Pengerusi Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar.

Turut ada dalam foto itu adalah bekas Pengerusi Umno Perlis, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dan Ketua Umno Bahagian Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Sekeping lagi foto menyaksikan lima pemimpin itu sedang menikmati juadah makan malam di meja makan.

Penyebaran foto itu berlaku selepas dua hari sebahagian besar pimpinan Umno Sabah mengumumkan mereka meninggalkan parti.

Walau bagaimanapun, Dr Mahathir masih menegaskan pertemuan tersebut hanyalah pertemuan biasa.

“Mereka datang jumpa saya untuk beritahu bahawa mereka akan tinggalkan Umno dan mahukan nasihat saya.

“Itu sahaja tiada perkara lain,” katanya lapor media 14 Disember tahun lalu.

Untuk rekod, PH kini mempunyai 129 kerusi Parlimen yang terdiri daripada PKR (50), DAP (42), Bersatu (26) dan AMANAH (11).

Sementara itu, BN mempunyai 40 kerusi dengan 38 daripadanya milik Umno manakala MCA dan MIC masing-masing satu kerusi.

Satu parti dominan Melayu ialah Pas dengan 18 kerusi Parlimen.