Malaysia Dateline

Penyatuan Pas-Umno serlah sokongan terhadap Assabiyah, kata Dr Dzulkefly

Apa pun perhitungan antara Pas dan Umno, ianya dengan jelas membuktikan dokongan serta membantu atas kezaliman, rompakan dan assabiyah yang ketara terpampang didepan mata.

Ini membuktikan telah wujudnya assabiyah paling dahsyat oleh sebuah parti yang kononnya berjuang atas dasar Islam, sebaliknya menutup mata atas pelbagai kesalahan dua individu pimpinan Umno iaitu Datuk Seri Mohd Najib Razak Najib dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Demikian dinyatakan oleh Pengarah Strategi AMANAH, Dr Dzulkefly Ahmad semasa majlis Hi-Tea bersama dengan pimpinan AMANAH Pulau Pinang di Seberang Jaya pada Isnin.

Dr Dzulkefly Ahmad (empat dari kiri) bersama barisan kepimpinan AMANAH Pulau Pinang.

“Dengan ini telah sempurnanya kehancuran bagi sebuah parti yang sering mendakwa memperjuangkan Islam, sebaliknya terserlah tidak lagi mempunyai maruah atas kata dasar memperjuangkan Islam.

“Pas paling tidak seharusnya, lebih ke hadapan atau ‘move forward’ dari bersekongkol dengan Umno yang telah begitu ketara melakukan kerosakan dalam negara.

“Ulama Pas sepatutnya bangkit dan mengingatkan pimpinan parti tersebut untuk membuat pengakuan atas kesilapan tersebut bagi mendapat keampunan Allah, namun ia tidak berlaku, ” tegasnya.

Sehubungan itu kata beliau, Pakatan Harapan tidak gerun dengan muafakat yang terjalin antara Pas dan Umno.

Malah tambahnya, dasar satu parti maupun satu agama sahaja tidak akan mampu untuk berjaya mengambil alih pimpinan kerajaan dalam negara ini.

“Penyatuan Pas-Umno yang telah termeteri baru-baru ini sebenarnya adalah kemuncak kemusnahan Pas.

“Saat ini merupakan masa yang terbaik bagi ulama-ulama Pas untuk keluar berbondong-bondong setelah jelas membuktikan parti tersebut telah mengkhianati perjuangan mereka yang sebenar.

“AMANAH merupakan parti yang memahami konsep dalam kepelbagaian dan memberi input solusi Islamik yang mampu membawa reformasi untuk kesejahteraan rakyat dalam negara ini serta harus diberi dokongan, ” ujarnya.