Penyatuan petak sawah tidak ubah hak milik, kata Husam

Penyatuan petak sawah tidak ubah hak milik, kata Husam

Penyatuan petak sawah bagi kerja-kerja penanaman padi secara mini estet sama sekali tidak mengubah status tanah tersebut kerana masih kekal dalam hak milik petani, tegas Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) Datuk Husam Musa.

Menurutnya, cadangan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Muhammad itu tidak akan menyebabkan pemilik tanah kehilangan ‘aset’ mereka jika perkara itu direaliasikan.

Husam yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kelantan berkata, hal tersebut dapat dilihat menerusi projek ladang merdeka dan mini estet yang dijalankan oleh KADA yang sudah memasuki tahun ke-30.

“Malah projek ini kita dapat tingkatkan hasil pengeluaran padi dengan banyak.

“Saya amat berharap orang kampung dan pesawah yang telah uzur membuka minda mereka dengan boleh bersetuju untuk menerima lebih banyak konsep seperti Ladang Merdeka di sawah mereka,” ujarnya.

Husam berkata demikian selepas merasmikan Sambutan Maal Hijrah Peringkat KADA 2019 di Tendong, Pasir Mas hari ini.