Penyatuan Ummah Umno-Pas menuju ke arah ideologi Islamo-Fasisme Melayu?

Penyatuan Ummah Umno-Pas menuju ke arah ideologi Islamo-Fasisme Melayu?

Rata-rata orang Melayu yang saya tanya pandangan mengenai penyatuan Umno-Pas (atau Pas-Umno mana lebih ke depan ikut abjad Pas-Umno, ikut kepentingan dan sedap disebut ialah Umno-Pas), begitu teruja dan positif dengan kerjasama kedua-dua parti pembangkang ini.

Sejauh manakah ia akan membawa kepada penyatuan ummah adalah suatu perkara yang masih subjektif, masih boleh diperdebatkan. Namun daripada temubual dengan orang-orang masjid dan surau (secara rambang) semuanya menyokong dan bersetuju. Walaupun temubual dan sembang seperti ini tidak boleh dijadikan ukuran untuk membuat kesimpulan tetapi secara zahir inilah yang saya perolehi daripada tembual dan sembang spontan.

Apakah gagasan Umno-Pas ini akan membawa negara kita ke arah struktur politk baharu – negara berpaksi Melayu dan Islam, kepartian ideologi sempit yang mungkin boleh menjejaskan negara bernama Malaysia ini? Bagaimana pandangan penduduk dan rakyat Sabah dan Sarawak pula mengenai penyatuan ummah?

Ini kerana semasa saya menemubual, mereka seolah-olah memberikan pandangan muktamad bahawa akhirnya yang mereka inginkan ialah pembentukan sebuah negara Melayu Islam. Apabila saya menanyakan bagaimana soal Sabah dan Sarawak atau rakyat bukan Islam, mereka tiada jawapan dan jawapan mudah ialah mereka harus terimalah. Inilah yang saya bimbangi.

Dalam hubungan ini saya teringat kepada kata-kata Setiausaha Agung Parti AMANAH, saudara Mohd Anuar Mohd Tahir bahawa agenda politik penyatuan Ummah yang direncanakan Umno-Pas diharap tidak mengundang sebarang risiko yang boleh menjejaskan imej Malaysia sebagai sebuah negara majmuk dan saling hormat menghormati antara pebagai bangsa dan agama.
Beliau berkata dalam aturan sebuah negara yang mengamalkan demokrasi berparlimen, pembangkang mempunyai peranan penting untuk memenuhi kestabilan semak-imbang pentadbiran negara.

Tetapi daripada impian dan cita-cita beberapa orang yang saya temubual dan gerakan mengutamakan produk Melayu atau Buy Muslim First (BMF) yang sering diiringi dengan boikot produk bukan Melayu, nampaknya pendekatan yang diambil lebih ke arah jalur aliran keras atau pihak konservatif kanan. Ia boleh membawa kepada pendekatan melampau atau ektremis. Atau dalam istilah yang lebih lebih luas ialah Islamo-Fasisme Melayu.

Saya pernah menyebut perkara ini dalam artikel saya di Malaysia Dateline (26.5.19) bahawa persepakatan antara Umno-Pas (pada masa itu) telah memungkinkan kemunculan suatu ideologi perikatan Fasis Melayu yang tidak pernah seumpamanya wujud di negara ini atau sesiapa membayangkan kemunculan perkataanya sekalipun. Mungkin sekarang telah ditambah kepada Islamo-Fasisme Melayu.

Fahaman ‘Islam Fasis’ memang bertentangan dengan konsep Islam sebagai rahmat bagi seluruh alam kerana fahaman ini menjadi sempit dengan mentakrifkan “Islam adalah untuk sesuatu kaum yang majoriti dan mereka harus menguasai golongan bukan Islam. Kekadang ia boleh suatu paksaan.

Pengarah Komunikasi AMANAH Khalid Samad berkata (Malaysia Dateline 15/10/17) apabila konsep demokrasi, hak asasi dan hak minoriti dipertikai oleh beberapa golongan Islam dan dianggap sebagai ciptaan dan rekaan tamadun Barat, kecenderungan terhadap sikap fasisme dalam kalangan pemuda Islam dilihat seolah-olah semakin meningkat.

“Sedangkan kesemua konsep ini selari dengan kehendak Islam, malahan diceduk dari tamadun Islam. Dengan berlakunya kefahaman songsang ini, ia menjadikan sikap pelampau dalam kata-kata dan tindakan yang semakin menjadi-jadi,” ujarnya.
Kesan daripada fahaman ini, beliau menambah wujud kecenderungan memaksa dan kurangnya kecenderungan untuk berbincang dengan kelompok yang berbeza kepentingan bagi mendapat persetujuan.

Ungkapan “kami majoriti”, “ini negara Islam”, “bukan Islam jangan campur” dan sebagainya, tambah beliau mencerminkan sikap tidak mahu ambil tahu pandangan golongan minoriti dan yang bukan Islam.

Malahan golongan minoriti, katanya turut dijadikan ‘bogeyman’ untuk mencetuskan kemarahan dan kebencian dengan golongan Islam yang membantah unsur-unsur fasis ini digelar liberal, pengkhianat dan sebagainya.

“Hasil dari itu kita mula melihat sikap semakin eksklusif atau ingin ‘menyucikan diri’ serta berpandang rendah terhadap golongan lain. Peristiwa gelas minuman yang diasingkan dan kedai dobi hanya untuk orang Islam adalah antara manifestasi sikap sebegitu. Sedangkan penyucian dari rasuah dan kleptokrasi tidak diendahkan kerana ianya bukan pertembungan Islam dengan bukan Islam,” ujar beliau.

Dalam hal ini Islamo-Fasisme Melayu, cenderung bersifat eksklusif atau hanya untuk memenuhi visi kumpulan tertentu dan akan menafikan kehendak mahupun kepentingan kumpulan lain.

Fasis percaya bahawa bangsa memerlukan kepemimpinan yang kuat, identiti kolektif tunggal dan kemampuan untuk melakukan kekerasan dan berperang untuk menjaga bangsa yang kuat.

Gabungan Umno – parti orang Melayu nasionalis sekular – dan Pas – parti Melayu bertunjang Islam sebagai mata rantai perjuangan – merupakan acuan kepada kemunculan fasisme dalam kalangan orang Melayu.

Mungkin para pemimpin Pas dan Umno akan menolak pandangan sedemikian tetapi secara tidak sedar dan demi memenangi pilihan raya mereka akan memupuk budaya Islamo-Fasisme Melayu dalam kalangan pengikut mereka dan rakyat Melayu keseluruhannya. Mereka juga tahu isu melibatkan Melayu-Islam adalah sensitif dan ini akan membawa mereka memenangi pilihan raya ke-15 nanti.

Mungkin ramai akan beranggapan mustahil fasisme di zaman Hitler boleh berada di zaman Internet apatah lagi di negara ini. Bagaimankah agama dapat menjadi alat fasisme? Bagi saya agama dapat saja menjadi dasar fasisme kerana dewasa ini agama dijadikan topik umum yang diekspresikan secara berlebihan di ruang awam terutamanya apabila PH menang dalam pilihan raya ke-14 dan isu-isu seperti ICERD, Dr Zakir Naik dan BMF muncul.

Umno dan Pas yang kalah dalam pilihan raya pasti akan mencari cara, keadah ata formula untuk menang dalam pilihan raya ke-15. Maka isu Melayu dan Islam adalah paling menyengat, sensitif dan mendapat pengaruh dalam kalangan orang Melayu.
Dengan formula Islamo-Fasisme Melayu di mana agama Islam menjadi identiti eksklusif kepada Melayu, ia mencari lawan atau musuh untuk dijadi sasaran untuk dimenangi atau ditakluki.

Kemudian saat agama sudah dijadikan persoalan identiti yang eksklusif, maka akan kehilangan nilai-nilai kerohaniannya. Tiada siapa yang mahu membincangkannya. Yang menjadi penting bukan lagi perdebatan tentang perbuatan baik dan nilai kerohaian yang harus diterapkan, tetapi mendengar ceramah dan pidato yang mendegar-degar membakar semangat juang pemimpin dan rakyat tanpa berfikir secara kritis lagi.

Maka Islam hanya menjadi perbandingan antara manusia, bukan lagi ekspresi hubungan individu dengan Tuhan kerana pada ketika ini individu akan menjadi ‘hilang‘ dalam ideologi identiti. Melalui identiti agama yang sempit inilah, Islam diperalat menjadi ideologi fasis supaya musuh diwujudkan.

Inilah saya bimbangi apabila pemimpin politik hanya memikirkan kemenangan yang mengatasnamakan ummah, kita tentu tidak mahu Balkanisasi terjadi di negara kita!

* Penulis adalah pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor (UNISEL).