“Penyatuan” Umno-Pas bukan demi kepentingan ummah

“Penyatuan” Umno-Pas bukan demi kepentingan ummah

Ramai orang begitu seronok dengan kolaborasi dan kerjasama antara Umno dan Pas yang telah dimeterai baru-baru ini.

Bagi saya jangan cepat-cepat berasa bahawa perkembangan ini sesuatu yang terbaik bagi umat Melayu dan Islam negara ini. Saya lebih yakin dengan kenyataan Datuk Seri Nazri Aziz yang dilaporkan berkata bahawa apa yang penting dalam konteks hubungan dua parti ini ialah “politik”.

Cuba kita tanya satu persoalan kepada Umno. Adakah Umno mahu berkuasa semula? Sudah tentu ini menjadi matlamatnya. Jadi apa yang hendak dihairankan kalau terjadi kerjasama antara Umno dan Pas dalam konteks ini?

Pada pilihan raya umum tahun lepas, Umno hilang kuasa dan Pas pula gagal untuk merampas Putrajaya. Jadi, kedua-dua parti ini menjadi parti-parti pembangkang sekarang.

Walaupun Pas sudah sejak penubuhannya kekal sebagai pembangkang, pengalaman ini adalah baru bagi Umno, dan ia amat memeritkan. Apakah sebagai parti pembangkang mereka tidak akan melihat peluang baru untuk merampas kuasa dengan kaedah dan cara yang memang sudah diketahui sebagai cara berkesan mendapatkan kuasa?

Pas sudah beberapa kali mengadakan kerjasama dengan parti-parti lain sebelum ini sewaktu Umno menjadi parti yang memerintah. Pas malah pernah bekerjasama dengan DAP dalam Barisan Alternatif lewat 1990an dan kemudian sekali lagi dalam Pakatan Rakyat pada tahun 2008 sehingga 2014.

Kerjasama Umno-Pas melalui sayap pemudanya terlaksana pada PRK Dun Semenyih.

Kerjasama seperti itu hanyalah untuk memungkinkan parti itu untuk mendapatkan kuasa di peringkat Persekutuan.
Jadi, tidak menjadi suatu kejanggalan kalau Pas mahu bekerjasama dengan Umno kali ini pula.

Cuma adalah tidak betul untuk mengandaikan kerana kedua-dua parti ini terdiri daripada orang Melayu dan Islam justeru itu kerjasama itu adalah untuk memartabatkan orang Melayu dan Islam. Sekali lagi kenyataan DS Nazri cukup untuk menjelaskan perkara ini kerana beliau menegaskan bahawa beliau amat menyokong hubungan Umno Pas sekarang walaupun dahulu menentangnya, dan ini adalah kerana “politik”.

Jadi, jawapan ringkas dan jelas ialah kerjasama Pas-Umno adalah kerana kepentingan politik masing-masing. Kedua-dua parti mempunyai matlamat masing-masing namun parti-parti ini mempunyai satu hala tuju yang jelas iaitu menjatuhkan kerajaan PH.

Oleh itu, hubungan yang dijalin antara kedua-dua parti bukan mempunyai niat murni seperti memperjuangkan hak orang Melayu dan memartabatkan agama Islam.

Kalau benar Umno memperjuangkan agenda Melayu dan Islam ia tidak mungkin boleh kalah dalam pilihan raya umum yang lepas kerana rekod akan menunjukkan apa yang diperjuangkannya.

Sebaliknya apa yang terjadi kepada negara menerusi skandal 1MDB, kehilangan wang Tabung Haji, ‘kerugian’ FELDA dan institusi-institusi lain yang menjadi benteng ekonomi orang Melayu membuktikan “perjuangan” itu bukan untuk rakyat Melayu umum tetapi untuk orang Melayu terpilih dalam kalangan elit politik.

Mengenai isu memartabatkan Islam pula, yang dicanangkan oleh Pas dan kini Umno, sekali lagi bukanlah seperti yang digembar-gemburkan. Islam tidak pernah membenarkan amalan rasuah sedangkan Umno tersungkur kerana dakwaan rasuah dalam kalangan pemimpinnya.

Pas yang kononnya menjadi jaguh Islam di Malaysia boleh pula bersama dengan parti yang masih belum bersih daripada amalan yang ditolak Islam itu. Jadi tidak mungkin agama menjadi sebab untuk “penyatuan” yang disuarakan itu.

Ini bermakna kenyataan yang orang Islam perlu menerima hubungan Umno-Pas ini kerana agama adalah tidak betul dan jauh sekali berkait dengan penyatuan ummah.

Sebab kalau benarlah mereka buat kerjasama ini untuk penyatuan Muslim sudah tentu salah satu daripada dua parti itu perlu dibubarkan ataupun kedua-duanya sekali dan kemudian ditubuhkan pula satu entiti baru untuk mewakili apa yang dikatakan sebagai penyatuan umat Islam.

Tindakan seperti ini akan selari dengan hasrat Almarhum Tok Guru Nik Abdul Aziz, bekas Mursyidul Am Pas yang pernah menegaskan bahawa sekiranya Umno menerima Islam, Pas perlu dibubarkan.

Yang tersirat dalam kenyataan beliau ialah keperluan untuk hanya satu wadah bagi umat Islam di negara ini sekiranya wadah tersebut berada di atas landasan “Islam” yang mungkin terhasil sekiranya Umno dan Pas “berkahwin”.

Daripada pendekatan yang diambil oleh Pas kini, persoalannya ialah apakah Umno telah menerima “Islam” seperti hasrat Almarhum Tok Guru itu?

Apa yang jelas ialah keghairahan pemimpin-pemimpin Pas untuk bersama dengan Umno menunjukkan seolah-olah Umno telah menerima “Islam”. Justeru itu tiada sebab untuk melengah-lengahkan lagi pembubaran salah satu daripada dua parti tersebut untuk mencapai matlamat “Islam” yang dihasratkan.

Lagipun mana mungkin dalam konteks Islam, umat Islam mempunyai dua orang sebagai pemimpin dalam konteks kesatuan yang diidamkan?

Sekiranya Umno dan Pas terus bergerak sebagai dua entiti politik yang berasingan, sebaliknya masih menjalin kerjasama, ia tidak lebih daripada satu langkah politik oleh kedua-dua parti tersebut.

Ia langsung tiada kaitan dengan penyatuan ummah, walaupun “penyatuan ummah” diperalatkan bagi menarik sokongan orang Melayu-Islam.

Kesimpulannya, perkembangan terbaru dalam politik Malaysia yang menyaksikan “perkahwinan” Umno dan Pas perlu dilihat sebagai usaha kedua-dua parti ini untuk memastikan kelangsungan hayat politik mereka.

Umno-Pas memperalatkan bangsa dan agama menerusi slogan “penyatuan” agar orang Melayu-Islam yang naif akan beralih sokongan kepada kedua-dua parti ini.

Ujian “penyatuan” ini menerusi penggabungan kedua-dua par$ menjadi satu entiti sahaja tidak mungkin dilakukan. Oleh itu, tindakan ini semata-mata bersifat politik dan bukan atas dasar keikhlasan dan niat suci “demi Islam”.
Perhatikan perkembangan seterusnya.