Penyatuan Umno-Pas diharap tidak merosakkan citra agama Islam, bangsa Melayu

Penyatuan Umno-Pas diharap tidak merosakkan citra agama Islam, bangsa Melayu

Agenda politik Penyatuan Ummah yang sedang direncanakan oleh Umno Pas diharap tidak mengundang sebarang risiko yang boleh menjejaskan imej Malaysia sebagai sebuah negara majmuk dan saling hormat menghormati antara pelbagai bangsa dan penganut agama,.

Demikian menurut Setiausaha Agung Parti AMANAH Negara Mohd Anuar Mohd Tahir dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, dalam aturan sebuah negara yang mengamalkan demokrasi berparlimen, pembangkang mempunyai peranan penting untuk memenuhi kestabilan semak-imbang pentadbiran negara.

Malah katanya, Kerajaan Pakatan Harapan juga sentiasa mengambil pendekatan dengan hati dan telinga yang terbuka untuk mendengar idea, pandangan mahupun kritikan dari sesiapa sahaja sama ada parti pembangkang, NGO dan tokoh-tokoh penting dalam serta luar negara melalui pelbagai saluran media tanpa sebarang sekatan.

“Sesungguhnya kebebasan untuk bereksperimen politik ini diizinkan dalam demokrasi dan undang-undang,” katanya.

Justeru, katanya manfaatkanlah peranan ini dengan sebaiknya tatkala Kerajaan Pakatan Harapan pula pada masa yang sama, turut berusaha membangunkan semula negara ini sedaya upaya serta memulihkan kerosakan lampau yang ditinggalkan pemerintah lalu.

Wisma Amanah Negara iaitu ibu pejabat Parti AMANAH Negara turut menerima jemputan dari Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa ke Majlis Menandatangani Piagam Kerjasama antara parti pembangkang Umno dan Pas.

Secara demokratik, AMANAH sebagai sebuah parti politik yang pernah berjuang sebagai pembangkang dan kini berada pada posisi sebagai pemerintah tidak bermasalah dengan agenda penyatuan yang ingin dibawa oleh pembangkang hari ini.