Penyebaran klip video intim satu gerakan politik, kata Tun M

Penyebaran klip video intim satu gerakan politik, kata Tun M

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan penyebaran klip video intim yang dikaitkan dengan seorang menteri kabinet, adalah satu gerakan politik (political move) dan bukannya kerana jenayah.

Beliau berkata, jenayah adalah kesepakatan untuk menjatuhkan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu.

“Orang itu pula dia pergi mengaku. Itu kita heranlah.

“Biasanya orang macam itu nak sembunyi. Dia malu, tapi ini tak malu,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Ketika ditanya tentang kenyataan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengatakan Azmin perlu bercuti, Mahathir menjelaskan Anwar cakap ‘kalau’ betul video itu sahih.

“Anwar kata kalau betul (didapati Azmin terlibat dalam video itu). Kalau betul, iyalah. Tapi Anwar tak kata mesti sekarang ini,” katanya.

Memetik laporan BH yang terkini, siasatan polis berhubung kes pembikinan dan penyebaran video lucah kini sedang dikemaskini berdasarkan segala bukti dan maklumat terbaru yang diperoleh.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata pada masa ini Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) JSJ Bukit Aman sedang menyiasat lapan individu yang direkodkan berada dalam tahanan reman polis.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan akan ada lagi tangkapan sekiranya wujud keperluan berdasarkan maklumat baru yang muncul.