Malaysia Dateline

Penyelaras Parlimen, Dun perlu kreatif selesai masalah rakyat ,kata Ketua AMANAH Padang Serai

Abdul Razak Salleh

Walaupun tidak mempunyai dana, semua penyelaras bagi kawasan Parilimen dan Dewan Undangan Negeri (Dun) harus berusaha lebih kreatif untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh rakyat kata, Ketua AMANAH kawasan Padang Serai, Abd Razak Salleh.

Menurutnya, kreativiti yang lebih kreatif diperlukan kerana menjadi penyelaras bagi kawasan yang dimenangi oleh BN lebih mencabar jika dibandingkan dengan kawasan yang dimenangi oleh Pakatan Harapan (PH)

Malah ujarnya, mana-mana penyelaras sekalipun tidak hanya boleh menanti dana serta bantuan dari kerajaan semata-mata, sebaliknya harus membantu kerajaan dengan pelbagai cara.

“Tindakan yang terbaik ialah membantu mempermudahkan segala keperluan rakyat khususnya dari aspek kebajikan dan sosial.

“Seandainya terdapat rakyat yang mengharapkan dokongan, maka agensi kerajaan yang ada boleh dimanfaatkan untuk menyelesaikan masalah yang timbul.

“Dengan langkah yang diambil ia dapat menyegerakan bantuan yang diharapkan oleh golongan tersebut, ” jelasnya lagi.

Abd Razak  Salleh (dua dari kiri)  bersama-sama dengan Ahli Parlimen Padang Serai, Karupaiya Mutusami semasa program masyarakat di Sungai Karangan baru-baru ini.

Sebagai contohnya katanya, walaupun PH tidak menang bagi kerusi Dun Merbau Pulas, gerak kerja kebajikan masih lagi diteruskan sehingga sekarang.

Dalam pilihan raya umum ke 14 yang lalu, Abd Razak yang bertanding atas tiket PH bagi Dun Merbau Pulas tewas kepada calon Pas.

Namun begitu beliau masih lagi meneruskan komitmen membantu dan turun padang menyelesaikan pelbagai masalah yang dihadapi oleh rakyat dalam kawasan tersebut.

“Sebagai penyelaras Dun Merbau Pulas, saya akan terus membantu rakyat dan menyantuni semua golongan masyarakat.

“Kerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan negeri dan pusat termasuklah penghulu, pegawai daerah diteruskan bagi memberi kemudahan kepada rakyat.

“Walaupun kalah dalam pilihan raya umum ke 14 yang lalu, PH tetap terus melaksanakan tanggungjawab bagi membela nasib rakyat termasuklah bagi Dun Merbau Pulas, ” tambahnya.