Malaysia Dateline

Penyelesaian 1MDB-IPIC: Najib perlu bertanggungjawab dengan salahlaku

Gerakan Anak Muda Tolak Najib (GANT1) menyokong penuh tindakan undang-undang yang diumumkan oleh Peguam Negara, Tommy Thomas bahawa kerajaan memfailkan satu permohonan di Mahkamah Tinggi London bagi mengenepikan award persetujuan antara  International Petroleum Investment Company (IPIC) dan Aabar Investments PJS dan 1MDB serta Menteri Kewangan Diperbadankan.

Malah ia telah pun direkodkan oleh Tribunal Timbangtara Antarabangsa London pada 9 Mei 2017 atas dasar award persetujuan tersebut telah pun diperolehi secara penipuan (fraud) dan bertentangan dengan polisi umum.

Demikian dinyatakan oleh Faiz Fadzil, Penyelaras Sekretariat Ganti hari ini.

Jelas beliau lagi, permohonan yang telah difailkan oleh Peguam Negara adalah konsisten secara prinsipnya dengan saman yang telah difailkan oleh GANT1 di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mendakwa bahawa award persetujuan tersebut dilakukan secara penipuan,

ekoran keyakinan GANT1 kepada kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) untuk mengambil tindakan sewajarnya berhubung isu tersebut.

“Sehubungan itu saman tersebut telah ditarik balik pada 22 Ogos yang lalu kerana proses undang-undang yang lebih teratur dan konkrit seharusnya difailkan oleh kerajaan Malaysia sebagai pihak kepada award persetujuan tersebut.

“Najib yang juga merupakan mantan Perdana Menteri serta Pengerusi 1MDB harus bertanggungjawab sepenuhnya keatas penipuan wang negara tersebut.

“Dibawah award persetujuan yang diperolehi secara penipuan itu, Malaysia terpaksa menanggung untuk membayar sejumlah AS$5.78 bilion kepada IPIC dan pemegang bon amanah dalam tempoh 5 tahun, ” tegasnya lagi.

Tambah Faiz lagi, setakat ini, negara telah membayar sejumlah AS$1.46 bilion yang mana bakinya sejumlah AS$4.32 bilion beserta faedah seterusnya sebanyak AS$50 juta perlu dibayar seawal 11 November tahun ini.

Beliau juga berkata, nilai faedah yang setara perlu dibayar secara berperingkat sehingga April 2022, manakala pembayaran akhir secara ‘lump sum’ setiap satunya berjumlah AS$1.8 bilion yang merupakan jumlah pokok dan feadah yang perlu dilunkaskan pada Mei dan Oktober 2022.

“Jumlah ini ternyata terlalu tinggi yang sepatutnya dibelanjakan untuk keperluan rakyat yang menjadi korban dek perbuatan curang kleptokrat yang memerah keringat rakyat tanpa sebarang empati.

“Oleh kerana itu, GANT1 menggesa pihak Polis dan SPRM untuk memanggil siasatan jenayah terhadap Najib atas perbuatan curang tersebut.

“Laporan polis berhubung kes ini telah pun lama dibuat dan rakyat mahukan kleptokrat tersebut segera didakwa bagi menegakkan keluhuran undang-undang selaras dengan kehendak rakyat yang telah dibuktikan melalui keputusan pilihan raya umum ke 14 yang lalu, ” saran Faiz yang juga adalah Ahli Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir.