Malaysia Dateline

‘Penyelesaian dua negara apa yang Muhyiddin cakapkan ini?’

Pengerusi AMANAH Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah menegur Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin agar memahami isu Palestin dan Israel sebelum berhasrat menyelesaikan sesuatu masalah.

Jika tidak katanya, ia akan dianggap retorik tanpa kesungguhan yang sebenarnya.

Beliau berkata, apabila Muhyiddin masih mencadangkan penyelesaian penubuhan ‘dua-negara’ bagi masalah Palestin-Israel, ia memberi gambaran memalukan bahawa kerajaan Malaysia ketinggalan tentang perkembangan semasa isu Palestin.

“Rakyat Palestin tanahnya dirampas dan dihalau dari rumah mereka. Lalu bagaimanakah konsep ‘right of return’ untuk penyelesaian dua negara ‘two nation state’ hendak dilaksanakan?

“Dunia umum tahu Israel telah menolak hak rakyat Palestin untuk pulang ke tanah asal mereka. Malahan terus meningkatkan rampasan tanah Palestin dan membina rumah untuk Yahudi Israel di atas tanah tersebut.

“Dunia tahu konsep ‘two state solution’ ini telah lama berkubur dengan tindak tanduk Israel dan juga sekutunya Amerika. Penyelesaian dua negara apa yang Muhyiddin masih bercakap hari ini?,” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Kamarul juga mempertikaikan tentang peranan Duta Khas ke Timur Tengah, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang sepatutnya sudah ke negara-negara Arab untuk meminta mereka memainkan peranan meminta Israel mencapai pendamaian adil dengan Palestin.

Namun katanya, selagi hal itu belum dilakukan, Malaysia belum kelihatan betul-betul bersungguh dan serius dalam usaha membela Palestin hari ini.

Pada masa sama, Senator Dewan Negara itu membangkitkan sikap Hadi dahulu yang menentang keras konsep penyelesaian cara dua negara, tetapi Perdana Menteri pula memperjuangkan konsep tersebut.

“Kemana arah tuju dan pendirian Malaysia hari ini sebenarnya?

“Muhyiddin perlu faham keadaan semasa dan kedudukan Palestin sebenarnya sebelum membuat kenyataan yang boleh menjejas imej serta kredibiliti Malaysia di pentas antarabangsa,” tegasnya.