Penyelesaian IPIC-1MDB tambah kerugian negara

Penyelesaian IPIC-1MDB tambah kerugian negara

Pemuda Amanah Nasional hari ini mengemukakan memorandum kepada perdana menteri bagi menuntut penjelasan berhubung skandal penyelesaian tuntutan arbitrasi IPIC-1MDB yang disifatkan sebagai merugikan negara.

Malah sikap berdiam diri Datuk Seri Najib Razak dalam menjawab isu dan persoalan berkaitan skandal 1MDB tidak mencerminkan sikap akauntabiliti beliau sebagai Perdana Menteri yang juga Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB.

Memorandum itu diserahkan timbalan ketua Pemuda Amanah Nasional Faiz Fadzil di pejabat perdana menteri di Putrajaya dan diterima setiausaha sulit kanan perdana menteri, Nik Mohd Husin.

IPIC dan anak syarikatnya Aabar Investment PJS (Aabar) telah membuat tuntutan arbitrasi di Mahkamah Timbangtara Antarabangsa London terhadap 1MDB dan Kementerian Kewangan Diperbadankan (MOF Inc) pada 14 Jun 2016.

Memorandum Pemuda Amanah diterima setiausaha sulit kanan perdana menteri Nik Mohd Husin.Dalam permohonannya, IPIC menuntut sejumlah USD6.5 bilion (RM26.5 billion) di atas kegagalan 1MDB dan Kementerian Kewangan menunaikan obligasi kontrak.

Bagaimanapun pada 24 April 2017, IPIC melalui kenyataan kepada Bursa Saham London mengesahkan satu persetujuan telah dicapai antara IPIC dan 1MDB dengan 1MDB dan MOF Inc akan membayar sejumlah USD1.2 bilion (RM5.3 bilion) sebagai penyelesaian awal kepada IPIC dan bertanggungjawab terhadap dua bon berjumlah USD3.5 billion (RM15.5 bilion) yang dikeluarkan 1MDB Energy Limited.

Dalam memorandum tersebut, Pemuda Amanah melahirkan kebimbangan terhadap ketelusan penyelesaian tuntutan arbitrasi yang secara langsung menunjukkan jumlah USD3.5 bilion telah dibayar secara curang (fraud) kepada Aabar BVI yang disahkan bukan anak syarikat IPIC.

Tambah Faiz, jika Aabar BVI didakwa sebagai syarikat yang sahih, mengapa 1MDB dan Kerajaan Malaysia bersetuju menyelesaikan tuntutan IPIC.

Pemuda Amanah turut mempersoalkan ketidakhadiran Menteri Kewangan II Datuk Seri Johari Abdul Ghani dalam tuntutan arbitrasi tersebut sedangkan beliau bertanggungjawab menyelia pelan rasionalisasi 1MDB.

Malah penyelesaian tuntutan arbitrasi itu dibuat Pejabat Perdana Menteri bagi pihak 1MDB dan Kerajaan Malaysia sedangkan perdana menteri didakwa menerima USD30 juta daripada transaksi licik Aabar BVI di saat beliau ialah Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB.

Pemuda Amanah juga mempertikaikan mengapa tiada sebarang tindakan diambil terhadap dua individu iaitu Jho Low dan Riza Aziz yang didakwa menyeleweng wang 1MDB yang dibayar kepada Aabar BVI.

Sikap Kerajaan Malaysia yang tidak mencelah prosiding ‘civil forfeiture’ oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) terhadap Jho Low dan Riza Aziz juga menghairankan kerana aset-aset yang bakal dirampas daripada dua individu terbabit tidak dituntut oleh  1MDB dan kerajaan Malaysia.

Pemuda Amanah juga ingin tahu sumber kewangan bagi membayar jumlah penyelesaian tuntutan arbitrasi dengan IPIC dan mahukan penjelasan sama ada terma-terma penyelesaian itu dibuat atas arahan, sokongan, dorongan atau persetujuan perdana menteri.

“Jika benar jumlah penyelesaian tuntutan arbitrasi dibuat melalui penjualan unit pelaburan 1MDB bernama Brazen Sky Ltd dan 1MDB Global Investment Ltd, siapakah pembeli, tarikh jual-beli dan lain-lain butiran terma jual-beli unit tersebut?

“Adakah wang rakyat selaku pembayar cukai akan digunakan bagi membayar kedua-dua bon yang akan matang pada tahun 2022 memandangkan nilai unit pelaburan 1MDB  bernama Brazen Sky Ltd dan 1MDB Global Investment Ltd adalah tidak mencukupi?” memorandum itu dipetik.

Pemuda Amanah juga inginkan penjelasan tentang insitusi dana awam yang akan digunakan bagi membayar jumlah penyelesaian tuntutan arbitrasi itu yang dianggarkan berjumlah RM26.5 billion.

Malah apa yang lebih penting, Pemuda Amanah mahukan kepastian tindakan undang-undang yang akan diambil kerajaan bagi mendapatkan kembali jumlah USD3.5 bilion yang dibayar secara curang dan salah oleh 1MDB.

Pemuda Amanah juga menuntut penjelasan diberikan perdana menteri dalam tempoh terdekat apatah lagi, penyelesaian tuntutan arbitrasi ini melibatkan kehilangan wang negara untuk kali kedua dengan jumlah yang besar.

“Kami sebagai rakyat Malaysia yang bermaruah dan menyanjung tinggi kedaulatan negara berhak mengetahui wang yang dibelanjakan oleh pihak pentadbiran negara,” memorandum itu dipetik.

COMMENTS

Wordpress (0)