Penyelesaian isu keluar Islam di Sarawak

 

Baru-baru ini heboh bahawa AMANAH Sarawak telah menyokong orang Islam untuk keluar Islam. Ini adalah kerana AMANAH Sarawak bersama-sama dengan rakan Pakatan Harapan (PH) yang lain iaitu DAP dan PKR telah menandatangani satu kenyataan akhbar yang bertajuk ‘Clear Laws and Guidelines Needed For Converts’ (2/3/2018).

Kenyataan akhbar itu telah dibuat berikutan Mahkamah Persekutuan telah memutuskan bahawa Mahkamah Syariah di Sarawak mempunyai bidang kuasa tersirat untuk memutuskan kes-kes berkaitan permohonan keluar Islam.

Sebelum itu, masyarakat di Sarawak mempunyai masalah kerana Mahkamah Syariah enggan untuk mendengar kes-kes berkaitan permohonan keluar Islam kerana tiada undang-undang yang jelas berkaitan dengan perkara tersebut khasnya dalam Ordinan Mahkamah Syariah 2001 dan Ordinan Majlis Islam Sarawak 2001.

Akhirnya, permohonan sedemikian hanya diputuskan oleh Majlis Islam Sarawak yang memutuskan hal tersebut secara administratif. Memutuskan sesuatu perkara secara administratif memerlukan satu garis panduan yang jelas supaya tidak berlaku sebarang penyalahgunaan kuasa oleh pihak eksekutif.

Jika dibandingkan dengan Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003, bidang kuasa itu jelas dinyatakan dalam Seksyen 61 iaitu “Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah dalam bidang kuasa malnya, mendengar dan memutuskan semua tindakan dan prosiding jika semua pihak dalam tindakan atau prosiding itu adalah orang Islam dan tindakan atau prosiding itu adalah berhubungan dengan pengisytiharan bahawa seseorang itu bukan lagi orang Islam”.

Selepas kenyataan akhbar itu dibuat, Pejabat Ketua Menteri Sarawak telah mengumumkan bahawa kerajaan negeri akan mengkaji kedua-dua ordinan yang dinyatakan di atas bagi menyelaraskan dengan keputusan Mahkamah Persekutuan.

KANUN percaya bahawa antara kajian yang dibuat adalah untuk memasukkan peruntukan seperti yang ada dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 iaitu berkaitan bidang kuasa Mahkamah Syariah untuk mendengar kes-kes berhubung perisytiharan bahawa seseorang itu bukan lagi orang Islam.

Negeri Sembilan antara negeri yang mempunyai tatacara khusus berkaitan perisytiharan bahawa seseorang itu bukan lagi orang Islam. Ini dinyatakan dengan jelas dalam Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Sembilan) 2003.

Peruntukan tersebut telah menyatakan dengan jelas mengenai proses istitabah yang menjadi aspek penting sebelum seseorang itu diisytiharkan sebagai bukan Islam. Dengan adanya peruntukan yang jelas begini seseorang pemohon itu tidak akan tertanya-tanya mengenai tatacara dan proses perisytiharan itu.

Proses istitabah ini adalah proses untuk memastikan bahawa pemohon yang ingin keluar Islam itu memahami sebab mengapa beliau ingin keluar Islam dan bukannya dipengaruhi oleh sesiapa. Menurut seksyen tersebut Hakim akan menasihati pemohon untuk bertaubat dan jika pemohon menerima nasihat tersebut kes akan ditutup.

Walau bagaimanapun jika pemohon enggan bertaubat, pemohon akan menjalani sesi kaunseling selama 90 hari bersama dengan Pegawai Perunding Cara Aqidah. Jika selepas sesi kaunseling itu gagal, Hakim boleh memerintahkan pemohon untuk menjalani sesi runding cara dan bimbingan yang tidak melebihi tempoh satu tahun.

Jika sesi runding cara dan bimbingan itu juga gagal maka baharulah Mahkamah akan membuat keputusan berkaitan perisytiharan keluar Islam itu.

Dalam satu kajian oleh Universiti Malaya bertajuk “Permohonan Keluar Islam: Kajian Kes Di Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Sabah (Pg Ismail Pg Musa & Siti Zubaidah Ismail) menyatakan terdapat juga kes yang difailkan dengan alasan mereka bukan beragama Islam dari awal, pemohon masuk Islam beramai-ramai tanpa mengetahui erti syahadah yang diucapkan atau pemohon telah salah didaftarkan sebagai Islam oleh pihak Jabatan Pendaftaran Negara mempunyai Dalam kajian mereka pada tahun 2015, didapati bahawa permohonan keluar agama di mahkamah syariah bukan berpunca daripada tindakan seseorang Islam itu untuk murtad tetapi kebanyakan kes difailkan kerana pemohon ingin membetulkan status agama dalam kad pengenalan akibat kesilapan teknikal yang berlaku semasa pendaftaran nama di Jabatan Pendaftaran Negara.

Dalam satu kajian lain oleh Universiti Malaya bertajuk “Amalan Mahkamah Syariah Mengisytiharkan Status Agama Dalam Kes Permohonan Keluar Islam: Kajian Kes Di Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Sembilan (Nor Ashikin Md Nasir & Siti Zubaidah Ismail) menyatakan bahawa permohonan terbanyak untuk perisytiharan bukan Islam di Negeri Sembilan adalah dibuat oleh saudara baru (muallaf) dan oleh orang yang Ibu dan bapanya atau salah seorang beragama Islam tetapi dibesarkan oleh orang bukan Islam.

Jelas sekali bahawa amat jarang berlaku kes yang mana orang itu asalnya Islam atau lahir sebagai orang Islam tetapi memohon untuk diisytiharkan sebagai orang bukan Islam. Ini menunjukkan bahawa tidak berlaku secara berleluasa cubaan untuk memurtadkan orang Islam. Banyak juga yang dilaporkan bahawa masalah permohonan keluar Islam ini berlaku kerana berlaku krisis rumah tangga antara pasangan yang memeluk Islam. Dalam hal ini, Majlis Agama Islam patut lebih pro-aktif dalam aktiviti dakwah untuk mencegah hal ini supaya tidak berlaku.

Berbalik kepada isu asal dalam kenyataan akhbar PH Sarawak, nampaknya PAS cuba mengeruhkan keadaan. Dalam Kenyataan Media Penerangan 176/47, Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasrudin bin Hassan menyatakan PAS menyatakan bantahan tegas terhadap kenyataan akhbar PH Sarawak. Baginya, cadangan tersebut seolah-olah menggalakkan lagi pihak keluar daripada Islam dan seolah-olah sudah tiada prinsip Islam dalam politik parti AMANAH.

Anehnya, beliau sendiri gagal mengemukakan apakah cadangan yang beliau lontarkan bagi menyelesaikan isu ini. Beliau hanya menyatakan bahawa isu tersebut harus dirujuk kepada agamawan dan mufti semata-mata. Jelas nampaknya PAS tidak berupaya untuk menangani isu negara jika hanya itulah cadangannya. PAS sendiri nampaknya tidak melakukan sebarang kajian tentang hal ini dan hanya membuat kenyataan akhbar berdasarkan laporan yang dilaporkan dalam portal semata-mata tanpa turun ke padang.

Justeru, sebagai sebuah parti politik kita harus mencari penyelesaian bagi masalah yang dihadapi oleh rakyat. Masalah yang ada perlu diselesaikan dengan rasional dan bukan dengan emosi. Kenyataan akhbar Pakatan Harapan Sarawak itu tidak sewajarnya dilihat dalam konteks untuk memudahkan orang murtad tetapi untuk menyelesaikan masalah yang wujud di kalangan masyarakat Sarawak.

CATEGORIES
TAGS