Penyelewengan belanja sukan tidak harus berulang, kata Pemuda Amanah

Penyelewengan belanja sukan tidak harus berulang, kata Pemuda Amanah

Pemuda Amanah Nasional mengingatkan integriti perbelanjaan sukan harus diberi perhatian sewajarnya dengan memastikan tidak berlakunya penyelewengan seperti pernah dibongkar sebelum ini.

Timbalan Ketuanya, Faiz Fadzil berkata, belanjawan sukan mencecah RM242 juta bagi tahun ini perlu diurus dengan berhemah dan berkesan bagi meningkatkan mutu sukan negara.

“Ini termasuk kemudahan sukan di semua peringkat yang boleh mendorong lebih ramai anak muda terlibat dengan sukan dan dapat menjauhkan mereka daripada gejala negatif.

“Ketirisan ratusan juta ringgit akibat korupsi dan penyelewengan wang KBS (Kementerian Belia dan Sukan) yang didedahkan baru-baru ini yang telah membantutkan pembangunan sukan negara tidak harus berulang,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, beliau menggesa Majlis Sukan Negara, Majlis Olimpik Malaysia selain KBS supaya bermuhasabah dan mencari jalan terbaik meningkatkan prestasi atlet negara.

Penekanan juga, katanya, harus diberi kepada usaha mencari lebih banyak bakat baru dalam pelbagai acara sukan.

“Tumpuan melahirkan lebih ramai bakat baru bagi acara yang lebih berpotensi dan pendedahan latihan di luar negara dan jurulatih luar perlu diberikan perhatian,” ujarnya.

Mengucapkan tahniah kepada atlet negara yang berjaya menyumbang lima pingat dengan empat perak dan satu gangsa dalam Sukan Olimpik Rio, Faiz berkata, rakyat Malaysia amat berbangga dengan pencapaian berkenaan.

“Usaha semua atlet yang bersunguh-sungguh berjuang untuk negara harus dihargai dan dijadikan pembakar semangat untuk atlet muda membina masa depan sukan negara yang lebih cemerlang dan gemilang.

“Ini adalah pencapaian terbaik negara dalam sejarah penyertaan negara dalam temasya Olimpik. Kejayaan ini harus dijadikan pemangkin untuk pencapaian lebih baik,” tambahnya lagi.

Untuk rekod, seorang pegawai tinggi KBS ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), 18 Mac lalu kerana menjadi dalang menggelapkan RM100 juta dana kementerian itu sejak 2010.

COMMENTS

Wordpress (0)