Malaysia Dateline

Penyelidik bimbang pengundi takut keluar undi kerana covid 19

Badan Penyelidik Ilham Centre bimbang peratusan keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Sabtu ini tidak memberangsangkan, ekoran faktor penyebaran jangkitan Covid-19 yang sedang memuncak di negeri itu.

Ketua Penyelidiknya Dr Mohd Yusri Ibrahim berkata, rata-rata pengundi luar kawasan yang ditemui tidak menunjukkan keghairahan untuk balik mengundi, khususnya golongan muda.

Dr YUSRI IBRAHIM

Menurutnya, kawasan di pantai timur khususnya Tawau, Lahad Datu, Sampoerna dan kawasan sekitarnya dijangka paling terkesan.

“Pengundi-pengundi luar selain kawasan tersebut juga senada, tidak berminat untuk balik mengundi dalam situasi sekarang.

“Perkembangan ini sedikit menggusarkan terhadap pesta demokrasi yang sedang berlangsung di Sabah.

“Jika PRN ini menyaksikan peratusan keluar mengundi rendah, keputusan tersebut tetap sah mengikut undang-undang dan lunas perlembagaan.

“Namun keabsahan kerajaan akan jadi pertikaian dalam aspek nilai, kerana tidak mencerminkan sokongan menyeluruh rakyat,” katanya menerusi hantaran Facebooknya hari ini.

Sementara itu Mohd Yusri menganggap, gabungan parti yang menang kelak hanya akan mengumpul sedikit lebihan undi popular jika hanya 60 peratus pengundi keluar mengundi berbanding sasaran awal 75 peratus oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia.

Berdasarkan peratusan keluar mengundi sekecil 60 peratus, beliau berkata ini bermakna kerajaan yang dibentuk hanya mewakili sekitar 30 peratus lebih suara rakyat Sabah.

Jelasnya, indikasi tersebut kurang baik untuk iklim demokrasi walaupun kerajaan itu sah secara perundangan, namun lompang dalam aspek nilai.

“Inilah realiti di lapangan sekarang, kebimbangan kadar keluar mengundi yang rendah akibat jangkitan wabak yang sedang membarah,” katanya lagi.

Tambah beliau, peratusan keluar mengundi akan mempengaruhi pola sokongan dan corak pengundian, di mana akan ada parti yang akan beruntung dan ada yang rugi dengan fenomena tersebut.