Penyelidik kata Malaysia kini jadi lokasi pilihan hartawan luar beli rumah lebih RM22 juta

Oleh KIM SYAZIE

Malaysia secara senyap-senyap muncul sebagai tempat menarik pasaran mewah Asia, menawarkan keselesaan dan kualiti yang diingini oleh kalangan individu kaya dari negara jiran.

Data daripada Juwai IQI mendedahkan, pada tahun 2024 jumlah hartawan China yang memilih untuk membeli rumah di negara ini meningkat berbanding pada tahun 2023.

Kebanyakan pembeli dari China yang sangat kaya ini mencari rumah berharga AS$5 juta (RM22 juta) dan ke atas.

Menurut laporan Bernama, Malaysia kini berada di belakang Thailand, Australia dan Kanada sebagai destinasi pilihan untuk hartawan China.

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari, berkata, ramai pembeli kaya adalah pengunjung berulang yang membina hubungan peribadi dengan negara melalui perjalanan, pendidikan atau perniagaan.

Beliau berkata, kemasukan pelajar China di institusi pengajian tinggi Malaysia bertambah sebanyak 35 peratus antara 2021 dan 2023, meningkatkan permintaan hartanah di kawasan seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Pulau Pinang.

Kashif juga menekankan bahawa program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) yang disemak pada 2023 telah meningkatkan daya tarikan negara, memperkenalkan laluan yang lebih berstruktur untuk penginapan jangka panjang dan membolehkan peserta menggunakan sebahagian daripada deposit tetap mereka untuk membeli hartanah.

Memetik penyelidikan daripada perunding hartanah global Savills, rumah utama di Kuala Lumpur berharga purata AS$240 (RM1,058.76) sekaki persegi, jauh lebih rendah berbanding Singapura (AS$1,810) dan Bangkok (AS$1,090).

“Malaysia secara senyap muncul sebagai tempat menarik pasaran mewah Asia. Ia menawarkan keselesaan dan kualiti yang diingini oleh orang kaya dari China dan negara lain, tanpa masalah visa, kawalan modal atau tanda harga tinggi yang mereka hadapi di tempat lain,” kata penyelidikan itu.

Baca juga: Pembeli kecewa makan nasi kerabu pasar pagi berharga RM44, daging keras ‘serupo’ batu!