Malaysia Dateline

Penyembur air lebih berkualiti percepat kerja membersih rumah diselaputi lumpur

Pemuda AMANAH Nasional menegaskan keperluan penyembur air atau water jet yang bermutu tinggi bagi memastikan kelancaran kerja-kerja pembersihan rumah yang terjejas akibat banjir.

Berkongsikan pengalaman sebelum ini, sayap anak muda parti komponen Pakatan Harapan (PH) tersebut mendapati sukar untuk membersihkan lumpur jika menggunakan penyembur air yang tidak sepatutnya.

“Diakui agak sukar tanpa water jet heavy duty serta yang gunakan diesel/petrol bagi tempat yang terputus elektrik.

“Alhamdulillah, petang ini beberapa water jet mula tiba di lokasi. Terima kasih para penyumbang,” dipetik dari Facebook Pemuda AMANAH Nasional hari ini.

Pemuda AMANAH terus bertungkus-lumus membersihkan rumah yang terjejas akibat banjir.

Sementara itu, Pemuda AMANAH Selangor, Ramadhan Lotphi menceritakan bagaimana penyembur air yang berharga RM270 tidak mampu membersihkan selut dengan berkesan.

“Hari Isnin (20 Disember) semasa bertugas di Kampung Bangi. Cuba juga untuk sembur selut ni guna waterjet RM270, tapi tak boleh.

“Masa tu tekanan air rendah. Air pun ada tiada. Ada juga rumah yang langsung tiada air dan elektrik. Jadi, team kami guna papan tebal untuk buang selut.

“Lepas buang selut baru boleh nak keluarkan barang-barang berat dan cuci dalam rumah,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Ramadhan memberitahu itu keadaan selepas banjir di Kampung Bangi.

Beliau berpendapat situasi pasca bah besar ini tentunya jauh lebih mencabar di Shah Alam, Hulu Langat, Sepang dan Kuala Langat.

“Sebab itu Pemuda AMANAH nak beli water jet yang lebih berkualiti agar dapat buat kerja dengan lebih cepat dan efisien,” ujarnya.

Tambahnya, penggunaan penyembur air yang bermutu perlu digunakan memandangkan banyak rumah yang perlu dibantu untuk segera dibersihkan.