Malaysia Dateline

Abdul Rahman Dahlan dan Rafizi Ramli

Penyenaraian Edra: Abdul Rahman gesa Rafizi tarik balik seruan boikot

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan menggesa Naib Presiden PKR Rafizi Ramli menarik balik seruannya kepada pengurus dana Malaysia supaya memboikot cadangan penyenaraian Edra Energy di Bursa Malaysia.

Katanya, saranan memboikot yang tidak masuk akal itu boleh melemahkan keyakinan pelabur asing di Malaysia dan menyebabkan Edra serta syarikat lain untuk tidak membuat penyenaraian di Bursa Malaysia, tetapi sebaliknya memilih untuk membuat penyenaraian di bursa saham negara lain.

“Tindakan berbahaya dan tidak prihatin ini boleh disifatkan sebagai mensabotaj ekonomi,” katanya dalam kenyataan semalam.

Abdul Rahman berkata Anggota Parlimen Pandan itu sepatutnya menyerahkan kepada pengurus profesional dana tempatan Malaysia memutuskan sama ada melabur dalam Edra merupakan tindakan yang munasabah dari segi perniagaan bagi mereka atau sama ada ia sejajar dengan strategi pelaburan mereka.

Dalam kenyataan semalam, Rafizi menyeru pelabur institusi Malaysia yang bertanggungjawab bagi dana awam supaya memboikot tawaran awal awam (IPO oleh Edra Energy, serta mengaitkan syarikat itu dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Abdul Rahma berkata, melalui Edra Energy, 1MDB telah memenuhi matlamatnya untuk melakukan reformasi terhadap industri Loji Tenaga Bebas (IPP), yang sebelum ini dikatakan pihak pembangkang mempunyai banyak perjanjian berat sebelah yang memberi kelebihan kepada syarikat pemegang konsesi.

Anehnya, kata beliau, perjanjian berat sebelah yang disebut pembangkang itu ditandatangani pada era pentadbiran seorang bekas Perdana Menteri, yang kini menyertai pembangkang dan menjadi rakan Rafizi.

Secara rangkuman, Abdul Rahman berkata, selepas 1MDB menceburkan diri dalam perniagaan IPP, kerajaan untuk pertama kalinya memanggil tender terbuka mengenai Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) pada September 2012.

“1MDB selalunya meletakkan bida paling rendah bagi setiap PPA baharu atau yang diperbaharui, sekali gus membantu menurunkan harga PPA bagi semua pembida,” katanya.

Hasilnya, kata beliau, banyak PPA yang sebelum ini didakwa bersikap berat sebelah, kini bersikap lebih adil hingga mengundang sebuah bank pelaburan utama mengisytiharkan dalam laporan analisisnya bahawa perjanjian yang hanya menguntungkan sebelah pihak berkaitan IPP suatu masa dulu, kini sudah menjadi sejarah.

Abdul Rahman berkata penjimatan hasil daripada kadar PPA yang lebih adil kepada Tenaga Nasional Bhd (TNB) dan subsidi gas Petronas dan selanjutnya kepada kerajaan- dianggarkan akan berjumlah hingga sebanyak RM200 billion dalam tempoh 20 tahun akan datang.

“Hasil ini dapat dilihat dengan amat ketara hari ini. Daripada mencatat kerugian dan memerlukan bantuan kerajaan suatu ketika dulu, kadar dan terma IPP yang lebih adil sekarang, yang sebelum ini meliputi hingga 40 peratus daripada kosnya, membolehkan TNB kini melaporkan jumlah keuntungan yang belum pernah dicatat sebelumnya.

“Ini menyebabkan bil bagi subsidi gas Petronas pada 2015 berkurangan sebanyak satu pertiga daripada jumlahnya pad tahun 2012, penjimatan sebanyak RM10 bilion,” kata beliau.

Abdul Rahman berkata penjimatan yang besar jumlahnya itu kini dibelanjakan semula untuk projek dan kebajikan rakyat, manakala harga tenaga elektrik pula berada pada paras rendah untuk semua orang.

“Ini jugalah sebabnya kenapa sejak 2013, pembangkang tidak lagi bercakap tentang perjanjian IPP yang berat sebelah kerana kerajaan sekarang telah menyelesaikan masalah yang menjadi legasi sejak sekian lama itu melalui 1MDB,” katanya.

Abdul Rahman berkata 1MDB menjual Edra Energy kepada pelabur asing melalui satu tender terbuka antarabangsa dan kini ia tidak lagi mempunyai sebarang hubungan perniagaan dengan Edra Energy.