Malaysia Dateline

Penyeragaman kadar tol JSAHMS Kelas 1 bermula 1Januari

Syarikat konsesi bagi Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (JSAHMS), Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB) mengumumkan penyeragaman kadar tol bagi kenderaan persendirian kelas 1 daripada RM8.50 kepada RM7.00 bermula 1 Januari 2020.

Majlis pelancaran penyeragaman tersebut telah disempurnakan oleh Datuk Farizan Darus, Ahli Lembaga Pengarah JKSB tepat pada jam 12.01 malam.

Farizan turut berkata, penyeragaman kadar tol bagi kenderaan persendirian kelas 1 adalah selaras dengan pengumuman yang telah dibuat oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, semasa pembentangan belanjawan tahun 2020 di Dewan Rakyat pada 11 Oktober yang lalu.

“Dengan penyeragaman ini ia membuktikan keprihatinan kerajaan bagi mengurangkan kos sara hidup dan meningkatkan kualiti kehidupan rakyat.

“Malah penyeragaman kadar tol tersebut adalah diharapkan ia dapat mengurangkan kesesakan di Jambatan Pertama Pulau Pinang.

“Selain itu ia juga diharapkan dapat memberi peluang pemanduan yang lebih lancar kepada pengguna jambatan tersebut dengan beralih kepada JSAHMS, ” tegasnya.

Tambah beliau lagi, jumlah pengguna JSAHMS turut meningkat bermula dengan 3.4 juta pada tahun 2014 kepada 4.8 juta pada tahun 2015.

Manakala peningkatan turut berlaku pada tahun 2016 apakala jumlah pengguna telah meningkat kepada 6.1 juta dan melonjak kepada 8.1 juta bagi tahun 2017.

Sementara itu untuk tahun 2018 ia terus meningkat lagi kepada 9.8 juta dan sehingga November 2019 jumlah pengguna adalah sejumlah 9.5 juta.