Malaysia Dateline

Penyeragaman RUU Guaman Syariah tingkat profesionalisma Peguam Syarie, martabat Mahkamah Syariah

Penyeragaman Undang-undang Berkaitan Profesion Guaman Syarie bukan sahaja dapat mengangkat profesionalisme Peguam Syarie di negara ini, malah dapat menjadi pencetus ke arah memartabatkan institusi Mahkamah Syariah, kata  Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

Presidennya Musa Awang berkata, ini memandangkan persatuan itu sendiri daripada awal terlibat dalam usaha menggesa kerajaan menggubal undang-undang berkenaan bertujuan mengangkat profesionalisme peguam-peguam syarie di negara ini.

Katanya, lagi  PGSM gembira apabila Rang Undang-Undang (RUU) Profesion Guaman Syarie (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2019 antara yang RUU diluluskan di Dewan Rakyat, semalam.

“PGSM yakin dan percaya bahawa negeri-negeri akan mengambil langkah yang sama dengan memperkenalkan Enakmen Profesion Peguam Syarie di negeri masing-masing.

“Pihak PGSM melalui cawangan PGSM di negeri-negeri bersedia memberikan kerjasama kepada Kerajaan Negeri ke arah merealisasikan tujuan tersebut.

“Apa yang lebih penting, ia mampu mengelakkan kemudaratan kepada Masyarakat, yang timbul akibat daripada ketidakseragaman tersebut,” katanya menerusi satu kenyataan.

Tambah Musa, walaupun RUU hanya terpakai dalam Wilayah Persekutuan sahaja, PGSM berharap ia menjadi model undang-undang panduan dan contoh penyeragaman undang-undang profesion guaman syarie di negeri-negeri.

“Dengan adanya undang-undang sedemikian, Peguam Syarie akan menjadi lebih fokus, lebih berkomitmen, lebih berintegriti dan lebih bertanggungjawab terhadap profesion mereka serta kepada anak guam,” katanya.

Semalam Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Profesion Guaman Syarie (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2019 yang bertujuan menubuhkan Lembaga Kelayakan Profesion Guaman Syarie, Badan Peguam Syarie dan Majlis Peguam Syarie untuk mengawal selia amalan profesion guaman syarie di Wilayah Persekutuan.

Selain RUU PGS itu turut diluluskan turut meluluskan RUU Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) (No.2) 2019.