Malaysia Dateline

Penyerahan Bantuan Khas AnIS yang pertama di Selangor

Penyerahan bantuan Khas Anak Istimewa Selangor (AnIS) dan Didik Anis buat julung kalinya diadakan hari ini bagi mengurangkan beban ibu bapa yang mempunyai anak Orang Kurang Upaya (OKU) selain bertujuan meringankan tanggungan kos ibu bapa.

Pengerusi Exco Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga Negeri Selangor, Dr Siti Mariah berkata, sejumlah RM500,000 telah diperuntukan Kerajaan Negeri untuk bantuan itu dan ia disalurkan melalui program penyerahan bantuan AnIS.

Mengakui cabaran menempatkan anak istimewa dalam taska, beliau berkata Kerajaan Negeri akan mencadangkan agar satu Dewan Undangan Negeri (Dun) mempunyai taska yang terdiri dari Guru AnIS terlatih yang boleh menjaga golongan ini.

“Taska selalunya tak ambil anak istimewa sebab tak terlatih untuk menjaganya. Kalau ikut kemahuan, kita nak hantar ke pusat intervensi awal kanak-kanak yang lebih terjaga, namun kebiasaannya ibu bapa buntu kerana lokasinya jauh dari kediaman.

“Jadi sekarang kita letak bajet sekurang-kurangnya supaya ada empat taska setiap dun yang dalamnya ada Cikgu AnIS yang sanggup terima anak istimewa.

“Kita bekerjasama dengan Persatuan Taska Negeri Selangor dan Genius Kurnia untuk kita ambil beberapa orang Guru AnIS untuk melatih mereka yang sebelum ini ada sijil untuk taska tapi tidak ada latihan untuk menangani anak-anak istimewa.

“Jadi kita dapat membawa anak-anak ini masuk dengan kanak-kanak normal yang lain. Jadi kita ada keterangkuman, inklusiviti, di mana mereka boleh bersosial dan sedar bahawa dikalangan mereka ada yang tidak berkemampuan,” katanya.

Dr Siti Mariah bersama antara penerima bantuan AnIS.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Serahan Didik AnIS dan Bantuan Khas AnIS, di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAS), hari ini.

Dengan itu katanya, latihan yang akan diberikan kepada Guru AnIS adalah untuk mencapai matlamat mengurangkan kos tanggungan ibu bapa, selain memberi peluang kanak-kanak istimewa belajar bersama kanak-kanak normal yang lain.

Sementara itu, dalam ucapannya hari ini, beliau berkata Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri Selangor secara prinsipnya bersetuju untuk mendirikan satu pusat rintis bagi melatih anak-anak remaja yang akan dibantu Yayasan Selangor dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Beliau yang juga Ahli Dewan Negeri Seri Serdang berkata, ia berikutan komited kerajaan Negeri dalam mengurangkan beban ibu bapa yang terpaksa mencari jalan untuk menempatkan anak mereka yang remaja untuk mendapat pendidikan yang sepatutnya.

“Saya akan galakkan setiap Dun untuk ada satu pusat latihan supaya kita boleh hantar anak remaja yang boleh berdikari, agar mereka dapat buat aktiviti dan belajar kemahiran tertentu dan boleh buat kerja tertentu,” katanya.

Dalam majlis tersebut, keseluruhan 14 Pusat Intervensi Awal Kanak-kanak atau Didik Anis mendapat peruntukan sebanyak RM542,400, manakala bantuan Khas AnIS pula diserahkan kepada 63 buah keluarga yang berjumlah lebih RM131 ribu.

Sambil menyifatkan bantuan tersebut ibarat memberi cahaya dalam keluhan ibu bapa, beliau berkata bantuan yang diberikan sedikit sebanyak mampu meringankan beban ibu bapa agar ia tidak menjadi semakin runcing.

“Jadi saya ingin menyeru kepada semua ibu bapa yang ada anak istimewa, tolong daftar anak-anak mereka dengan JKM. Sebab hanya yang berdaftar sahaja, kami akan pertimbangkan permohonannya,” katanya lagi.

Antara 63 keluarga yang menerima agihan Bantuan Khas AnIS.