‘Penyerang tambahan’ bantu Tok Gajah lakar kemenangan

‘Penyerang tambahan’ bantu Tok Gajah lakar kemenangan

Kehadiran ‘penyerang tambahan’ daripada bahagian pertahanan yang berupaya mencetak gol membolehkan Pahang menang 3-2 ke atas PKNS FC pada saingan Liga Super di Stadium Darul Makmur di sini, semalam.

Penolong Ketua Jurulatihnya Ahmad Shaharuddin Ahmad Rosdi berkata sumbangan tiga gol daripada pemain pertahanan itu nyata melegakan skuad Tok Gajah yang ketandusan gol menerusi jentera serangan, walaupun bermain secara baik.

“Kita sejak awal lagi cuba mengatur serangan tetapi tidak berjaya menghasilkan gol dan strategi kita ialah melakukan pembetulan dalam aspek sepakan sudut supaya boleh boleh mencipta jaringan berhasil apabila pemain pertahanan menjaringkan gol.

“Perlawanan ini menyaksikan kita memiliki penyerang tambahan daripada posisi pertahanan dan saya yakin Pahang boleh berpesta gol pada perlawanan akan datang, apabila penyerang juga dapat melakukan jaringan,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Pada perlawanan itu, Pahang membuka jaringan gol menerusi pemain import Mark Herald Goulon pada minit ke-30, diikuti Muslim Ahmad (minit ke-42) sebelum Matthew Davies melengkapkan kemenangan pada minit ke-89.

PKNS FC pula memperoleh gol menerusi pemain import dari Liberia Kpah Sherman (minit ke-60) dan Argentina Gabriel Guerra (minit ke-65).

Ahmad Shahruddin berkata dengan kejayaan mengutip tiga mata penuh itu, Pahang masih berpeluang untuk menghuni tangga kedua Liga Super musim ini yang masih berbaki tiga perlawanan.

Bagaimanapun, beliau mengakui Pahang berkemungkinan tidak dapat menurunkan tonggak utamanya, Dickson Nwakaeme dalam waktu terdekat, yang masih dibelenggu kecederaan.

Sementara itu, pengendali PKNS FC Datuk K. Rajagobal berkata kelonggaran bahagian pertahanan Red Ants, yang bermula sejak babak pertama perlawanan, telah menghukum pasukannya dengan kekalahan tipis.

“Ini menyebabkan gawang PKNS FC dibolosi dua gol dengan cepat walaupun saya sudah beri arahan kepada pemain untuk memperketatkannya. Pemain bagaimanapun tidak berputus asa dan lebih agresif pada babak kedua sehingga memperoleh gol.

“Namun, kejadian PKNS FC menentang Kedah dan Terengganu sebelum ini berulang apabila gawang kita dibolosi pada minit-minit akhir perlawanan,” katanya.

Susulan itu, Rajagobal berkata kelemahan ketara yang perlu diberi tumpuan oleh anak buahnya bagi melengkapkan jadual perlawanan Liga Super ialah meningkatkan fokus pada akhir waktu permainan.- BERNAMA