Penyertaan Amanah dalam kerajaan mampu bela umat Islam, kata bekas menteri Kemboja

Kejayaan Amanah berada dalam kerajaan baharu selepas PRU14 baru-baru ini membolehkan usaha membela Islam dan umatnya dengan lebih berkesan.

Demikian pendapat bekas menteri kerajaan Kemboja Ahmad Yahya yang menjadi tetamu Amanah Kelantan di dalam majlis tadabbur al-Quran yang berlangsung di Masjid Bulan Pasir Mas pada 1 Jun 2018.

Beliau yang tiba di negara ini sehari selepas pembebasan dan pengampunan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berterima kasih di atas jemputan Amanah Kelantan itu.

“Ini mengingatkan kembali hubungan saya dengan almarhum Tok Guru Nik Abdul Aziz, mantan Menteri Besar Kelantan.

“Setiap kali almarhum melawat Kemboja, saya tidak pernah terlepas mengiringi beliau ke pelbagai destinasi yang ingin beliau pergi,” katanya.

Ahmad Yahya yang tiga kali menang dalam pilihanraya sebagai ahli parlimen berkata dengan menyertai politik, umat Islam akan terselamat daripada ditindas atau diabaikan.

“Selepas tamat belajar di Amerika Syarikat, saya ditawarkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengajar di UIA, Kuala Lumpur dan sayapun telah menyatakan persetujuan.

“Dalam masa yang sama, keadaan politik Kemboja berubah dan ada cadangan untuk saya bertanding dalam pilihanraya.

“Saya menerima pelawaan ini kerana yakin menyertai politik akan memberi peluang luas untuk membangunkan semula masyarakat saya yang ditindas teruk di bawah pemerintahan komunis sebelum itu,” katanya.

Sepanjang penglibatan beliau dalam kerajaan Kemboja, beliau pernah menyandang jawatan setiausaha rendah (timbalan menteri) pengangkutan dan kebajikan.

Majlis tadabbur Ramadhan dikendalikan oleh pengarah panel syariah Amanah Kelantan, Hashim Muhamad.

Beliau mengupas dari ayat 1 hingga 6 surah Al Anfal yang menjadi tema tadabbur Amanah Kelantan tahun ini.

Turut berucap di majlis itu adalah pengerusi Amanah Negeri, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah.