Penyertaan Pas bukan kekangan untuk Pakatan di K Kangsar, kata Pemuda Amanah

Penyertaan Pas bukan kekangan untuk Pakatan di K Kangsar, kata Pemuda Amanah

 

Pemuda Amanah Perak menyifatkan penyertaan Pas di dalam pilihan raya kecil Kuala Kangsar bukanlah satu kekangan untuk Pakatan Harapan kerana mereka tidak mendokong semangat pakatan pembangkang yang menjadi harapan rakyat.

Pemangku Ketua Pemuda Amanah Perak, Mohd Fitri Asmuni juga berkata, kerusi tersebut sememangnya status quo milik Amanah yang menggantikan posisi Pas di dalam Pakatan Harapan.

Oleh yang demikian, Pemuda Amanah Negeri Perak telah membuat persediaan sejak awal lagi untuk menghadapi sebarang kemungkinan, kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

“Kami telah mengenalpasti beberapa calon yang berpotensi untuk mewakili Amanah dan ia akan dicadangkan kepada pimpinan Amanah Negeri dan Nasional.

“Kami yakin, jentera Amanah khususnya pemuda di semua peringkat telah bersedia dan hanya menunggu semboyan untuk menggempur PRK Kuala Kangsar bagi memastikan kerusi ini milik Pakatan Harapan!” katanya.

Menurut Asmuni yang merupakan seorang peguam itu, Pakatan Harapan diwujudkan atas dasar kesedaran pentingnya sistem dwi parti melalui satu kesepakatan ampuh dalam menghadapi kekuasaan BN di negara ini.

Oleh yang demikian, atas kesedaran itu Pemuda Amanah Negeri Perak menegaskan Pakatan Harapan wajar untuk meletakkan calon merebut kerusi Parlimen Kuala Kangsar.

“Pakatan Harapan perlu bertarung di Kuala Kangsar membawa aspirasi rakyat khususnya golongan muda iaitu satu gabungan pembangkang yang kuat,” katanya.

Siapakah yang sepatutnya menjadi calon dalam kedua-dua pilihan raya kecil Kuala Kangsar dan Sungai Besar terus menjadi perdebatan hangat.

Ketika ahli parlimen Pas, Datuk Mahfuz Omar mencadangkan agar partinya berunding dengan Amanah agar tidak berlaku pertembungan antara mereka, Pas terus bertegas akan memasuki kedua-dua PRK itu.

Pengarah pilihan raya Pas, Datuk Mustafa Ali pula bertegas, mereka hanya akan berunding dengan PKR yang masih menjadi rakan kongsi mereka selepas tidak menyertai Pakatan Harapan.

TAGS