Malaysia Dateline

Penyertaan tenaga kerja Wanita terus meningkat setakat November 2019

Berdasarkan Statistik Jabatan Perangkaan Malaysia, peningkatan penyertaan tenaga kerja Wanita yang meningkat daripada 55.1 peratus pada Januari 2018 hingga 56 peratus pada November 2019, menunjukkan usaha awal kerajaan ke arah pemberdayaan wanita.

Ketua Wanita Keadilan, Haniza Talha, berkata, peningkatan sebanyak 0.9 peratus itu akan terus meningkatkan penyertaan kerja wanita setaraf negara maju, selaras dengan perlaksanaan program #WanitaKerja mulai tahun hadapan.

Beliau turut merujuk pada statistik suku ketiga 2019, menunjukkan tenaga kerja diwakili oleh 60.8 peratus lelaki bersamaan dengan 9.53 juta orang dan 39.2 peratus perempuan yang bersamaan dengan 6.15 juta pekerja.

“Kita perlu mengubah persepsi masyarakat terhadap wanita yang bekerja.

“Disamping itu, kita perlu mengalakkan rumah tangga ‘Dual-Income’ supaya beban menjana ekonomi keluarga ditanggung oleh kedua-dua pihak lelaki dan perempuan melalui ‘Shared Responsibility’,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru katanya, Wanita Keadilan menggesa supaya lebih ramai wanita keluar bekerja oleh kerana Inisiatif #WanitaKerja yang diumumkan semasa Belanjawan 2020 bakal menyediakan sehingga 33,000 peluang pekerjaan dalam setahun.

Malah, Exco Perumahan Dan Kehidupan Bandar Negeri Selangor itu juga, turut berharap agar kerajaan dan majikan memberi sokongan kepada kelonggaran masa bekerja ‘Flexi-hours’ ataupun kerja-kerja ‘Work-from-Home’.

Dalam pada itu katanya, Insentif gaji selama dua tahun sebanyak RM500 sebulan dengan pengecualian cukai pendapatan selama empat tahun, akan menjadi dorongan bagi wanita untuk kembali berkerja

“Insentif pengambilan pekerja sebanyak RM300 sebulan bagi pihak majikan bagi tempoh yang sama juga dijangka membawa kesan yang positif.

“Jabatan Perangkaan Malaysia juga mengumumkan kadar penyertaan tenaga buruh sebagai 68.9 peratus dan kadar pengangguran pada suku ketiga tahun ini kekal pada 3.3 peratus seperti suku kedua 2019.

“Bilangan penganggur yang direkodkan adalah seramai 512.1 ribu orang, turun 2.3 peratus berbanding suku yang sama tahun lepas,” katanya.

Walau bagaimanapun katanya, kadar pengganguran Siswazah mengikut Jantina mencatat 3.4 peratus untuk lelaki (69,822 orang) dan 4.4 peratus untuk perempuan (92,178 orang) ataupun 162,000 orang keseluruhan, dan meningkat sebanyak 4.6 peratus dari 2017.

Berdasarkan penyelidikan yang dijalankan oleh Institut Wanita Berdaya (IWB), diantara punca utama siswazah menggangur dan tidak mencari pekerjaan adalah kerana tanggungjawab rumahtangga dan ini menyumbangkan peratusan yang tinggi iaitu sebanyak 34.5 peratus.

“Wanita Keadilan komited untuk terus merancang dan melaksana pelbagai program serta menyokong segala usaha yang dijalankan oleh pelbagai pihak termasuk kerajaan, swasta dan masyarakat sivil.

“Kami menyokong usaha dalam mencipta peluang pekerjaan serta meningkatkan kadar penyertaan tenaga kerja wanita demi memastikan produktiviti dan ekonomi negara terus meningkat dengan jaya,” katanya.