Misteri bau busuk dari sebuah kondominium terjawab apabila polis menemui jasad penyewa yang sudah meninggal dunia di dalam kediaman tersebut.
Timbul tanda tanya, jasad lelaki berusia 40-an itu dijumpai maut di dalam sebuah rumah sewa yang dikunci oleh pemiliknya dari luar pagar.
Difahamkan, tuan rumah bertindak mengunci kediaman itu kerana penyewa telah gagal membayar sewa sebanyak RM1,000 selama tiga bulan.
Merasa teraniaya, ahli keluarga penyewa sedang membuat pertimbangan untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas tuan rumah.
Hal ini kerana, ahli keluarga berpendapat bahawa mangsa sebenarnya meninggal dunia akibat kelaparan setelah dikurung oleh wanita berkenaan.
Mangsa juga didakwa tidak boleh membuat panggilan bagi meminta bantuan kerana tiada wang untuk menambah nilai prabayar telefon miliknya.
Tampil membela diri, pemilik rumah mengaku telah mengunci pagar tersebut secara tidak sengaja pada 2 Julai lalu kerana menyangka mangsa telah berpindah.
Sudah cuba menghubungi mangsa lebih daripada 30 kali, wanita itu telah berikhtiar untuk mencari penyewa tersebut di rumah.
Oleh kerana pagar dikunci dari dalam, pemilik tidak boleh masuk ke dalam rumah dan kali terakhir berhubung dengan penyewa itu pada bulan Mac lalu.
“Itu kali terakhir kami berhubung dan saya hanya hanya mengetahui mangsa meninggal dunia selepas mendapat panggilan daripada polis.
“Saya fikir dia telah berpindah secara senyap-senyap, jadi saya mengunci pintu rumah dengan rantai,” kata tuan rumah memetik Sin Chew Daily.
Dalam perkembangan lanjut, pihak polis mengesahkan bahawa kematian lelaki yang bekerja sebagai pemandu e-hailing itu adalah berpunca daripada serangan jantung.
Tiada unsur jenayah, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid berkata, kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
“Hasil daripada laporan bedah siasat turut menyatakan punca kematian akibat daripada serangan jantung.” Ulas Fakhruddin.
Baca juga: 2 tahun tak bayar sewa, penyewa selamba nak jual rumah sebab pemilik hilangkan diri