Malaysia Dateline

Penyewa rumah pangsa Seri Baiduri diingatkan tidak sewakan semula rumah

Kerajaan Negeri Johor hari ini mengingatkan 190 penyewa Rumah Pangsa Seri Baiduri, Bandar Tiram, di sini, supaya tidak mengaut keuntungan segera atau ‘makan atas angin’ dengan menyewakan semula rumah masing-masing kepada pihak lain.

Menteri Besar Datuk Osman Sapian berkata para penyewa menerusi Skim Sewa Beli (RTO) Jauhar Prihatin berkenaan bakal berdepan tindakan sekiranya mereka dikesan menyewakan semula rumah berkenaan.

“Jika ada dalam pengetahuan anda semua pemilik yang menyewakan rumah mereka kepada pihak lain, laporkan kepada pihak kami (kerajaan negeri).

Saya mengharapkan agar anda semua jaga sebaiknya dan hargailah rumah yang tuan-tuan dan puan-puan terima ini,” katanya berucap pada Majlis Pengundian Unit Jauhar Prihatin Rumah Pangsa Seri Baiduri, Bandar Tiram, Ulu Tiram, di sini, hari ini, yang dikendalikan syarikat milik penuh Kerajaan Negeri Johor, Kumpulan Prasarana Rakyat Johor Sdn Bhd (KPRJ).

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar Johor Dzulkefly Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif KPRJ Mohd Noorazam Osman.

KPRJ menerusi anak syarikatnya, Generasi Ta’zim Sdn Bhd (GTSB) menawarkan 190 unit rumah pangsa Seri Baiduri berkeluasan 680 kaki persegi (63.17 meter persegi) menerusi Skim Sewa Beli Jauhar Prihatin, satu inisiatif yang memberi manfaat kepada golongan B40 memiliki rumah sendiri.

Kesemua 190 penyewa berkenaan merupakan sebahagian daripada keseluruhan 650 pemohon.

Menurut Osman, Jauhar Prihatin diperkenalkan bagi membantu mereka yang berdepan dengan kesukaran mendapatkan pembiayaan daripada bank atau institusi kewangan apabila ingin membeli rumah yang ditawarkan terutama golongan B40.

Beliau berkata menerusi skim tersebut, penyewa akan bertukar menjadi pembeli selepas lima tahun dan berpeluang memohon pinjaman perumahan seperti biasa daripada institusi kewangan dengan rekod dan merit yang lebih baik.

“Skim Jauhar Prihatin ini menandakan bahawa inisiatif kerajaan dalam meningkatkan mutu kehidupan rakyat tidak pernah terhenti dan program seumpama ini tidak dilaksanakan secara bermusim.

Pembeli rumah menerusi skim itu juga tidak perlu risau memandangkan harga hartanah yang ditawarkan semasa menandatangani perjanjian sewa-beli adalah sama dengan harga yang ditetapkan semasa perjanjian sewa-beli lima tahun sebelumnya,” katanya dengan turut menasihati penyewa Rumah Pangsa Seri Baiduri supaya sentiasa mematuhi tarikh pembayaran sewaan bulanan berjumlah RM260.

Osman berkata, sehingga hari ini, dianggarkan sebanyak 4,715 unit rumah diperuntukkan di bawah skim Jauhar Prihatin iaitu meliputi hampir 90 peratus daerah Johor Bahru dan ia akan diperluas ke daerah lain dari semasa ke semasa.

— BERNAMA