Penyokong BN pekik “pakatan hancing”, Penyokong PH jerit “Hancur BN”

Penyokong BN pekik “pakatan hancing”, Penyokong PH jerit “Hancur BN”

Suasana Jalan Besar di Rantau tidak jauh dari pusat pengundian SJKC Chung Hua tegang kira-kira 10 minit apabila kedua-dua kumpulan penyokong PH dan BN mulai bergaduh dan tolak-menolak jam 10 pagi tadi.

Pergelutan berlaku antara penyokong PH dan BN

Menurut pihak penyokong BN, kumpulan PH yang bertemakan warna merah memulakan provokasi apabila memasuki lokasi mereka berkumpul.

Bagaimanapun, pihak PH mendakwa lawannya itu yang bersikap melampau kerana sepatutnya mereka berkumpul di seberang jalan.

Tindakan sekumpulan penyokong BN masuk ke kawasan PH di kiri jalan mengundang perang mulut kira-kira 10 minit.

Insiden yang hanya bermula dengan sorakan dan saling mengejek antaranya “pakatan hancing” dan “hancur BN” itu kemudiannya menyaksikan mereka saling tolak-menolak dan mengherdik antara satu sama lain. Namun, tiada insiden bertumbuk berlaku.

Ahli Pas bersama kumpulan BN yang dikatakan memasuki kawasan penyokong PH.

Anggota polis bertugas ketika ditanya Malaysia Dateline tentang syor penyokong PH supaya pihak BN berada di seberang jalan itu hanya memaklumkan polis bertugas ketika itu tidak diarah untuk berbuat demikian.

Bagaimanapun, selepas kira-kira 10 minit, situasi beransur reda dengan seorang petugas PH berpakaian PKR mendakwa anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) sedang dalam perjalanan menuju ke lokasi itu untuk menyuraikan keadaan.