Penyokong BN perlu undi protes bantah pemborosan wang rakyat

Penyokong BN perlu undi protes bantah pemborosan wang rakyat

Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli menyeru pengundi-pengundi di Kuala Kangsar dan Sungai Besar yang selama ini menyokong Umno-BN agar melakukan undi protes dengan mengundi calon Pakatan Harapan daripada Parti Amanah Negara (Amanah) jika mereka membenci pembaziran wang rakyat yang dilakukan pemimpin BN.

Beliau sebelum itu mendedahkan anggaran RM86.4 juta dibelanjakan oleh kerajaan untuk menyewa jet peribadi selama untuk dua bulan untuk kegunaan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Jet berkenaan digunakan Rosmah semasa lawatan ke Istanbul, Turki bulan lalu bagi menerima anugerah bagi pihak Permata.

Rafizi berkata, pemimpin dan calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil (PRK) Kuala Kangsar dan Sungai Besar tidak layak bercakap mahu membela rakyat selagi tidak berani menegur Rosmah agar berhenti berbelanja mewah menggunakan wang rakyat.

“Saya seru pengundi-pengundi di Kuala Kangsar dan Sungai Besar melakukan undi protes dengan memilih calon Pakatan Harapan atau tidak keluar mengundi langsung bagi menunjukkan kebencian kepada sikap boros pemimpin BN,” kata beliau dalam sidang media di pejabat Amanah Kuala Kangsar hari ini.

Seruan yang sama turut disuarakan Naib Presiden Amanah Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa yang risau calon BN tidak berani menegur pemborosan sebegini apabila dipilih menjadi ahli parlimen nanti.

“Setelah pembaziran yang terkini saya ingin menyeru pengundi di Kuala Kangsar dan Sungai Besar bahawa undi anda merupakan undi membantah semua pembaziran.

“Masuk ke parlimen nanti siapa yang menang adakah mereka komited untuk bawa perkara pembaziran begini?

“Bagi Amanah yang mewakili Pakatan Harapan saya boleh bagi jaminan itulah komitmen kita. Apabila rakyat memberi undi kepada calon Pakatan Harapan kami akan membawa isu-isu melibatkan wang rakyat,” katanya dalam sidang media sama.

Beliau juga berkata, calon dan pemimpin BN sudah sedia maklum siapa yang melakukan pembaziran tetapi tidak berani menegur pembaziran yang berlaku.

Justeru katanya, pilihan raya kecil ini merupakan medan terbaik bagi pengundi untuk menolak pemimpin yang tidak membela nasib rakyat sebaliknya berbelanja boros menggunakan wang rakyat.

“Saya bagi pihak Amanah yang mewakili Pakatan Harapan menyeru pengundi undilah calon yang boleh menegur pembaziran begini dan kita letakkan calon yang boleh melakukannya,” katanya yang juga ahli parlimen Parit Buntar.

Amanah diwakili Dr Ahmad Termizi Ramli di Kuala Kangsar dan Azhar Abdul Shukur di Sungai Besar.

COMMENTS

Wordpress (0)