Penyokong Harimau Malaya teruja dapat duduk sebelah KJ masa perlawanan Malaysia vs Singapura

Oleh KIM SYAZIE

Pada 3 Januari lalu, Harimau Malaya berjaya menewaskan Singapura 4-1 pada aksi terakhir Kumpulan B, Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2022 di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Ketika perlawanan tersebut berlangsung, ada beberapa momen yang menarik perhatian antaranya apabila kelibat Khairy Jamaluddin yang dilihat hadir di stadium tersebut mendapat sorakan ramai.

Ramai tidak menyangka bekas menteri kesihatan itu juga hadir bagi memberi sokongan kepada Malaysia.

Salah seorang penyokong Harimau Malaya ada berkongsi video menunjukkan kehadiran bekas Ahli Parlimen Rembau itu yang dikerumuni orang ramai.

Dia juga meluahkan rasa teruja apabila KJ mengambil tempat duduk di sebelahnya.

“Tadi saudara @Khairykj sampai sebelum separuh masa yang pertama. Tengah cari tempat duduk, maka aku pelawakanlah duduk seat kosong tepi aku.

“Lepaas itu kita selfie dan tengok Harimau Malaya kita tapao member dari Singapura.

“Sekian cerita pendek aku malam ini (malam 3 Januari),” ciapnya.

Hantaran itu juga tular sehingga hari ini dengan rata-rata ada yang terkejut kerana Khairy tidak mendapat tempat duduk VIP seperti yang sepatutnya.

Tetapi kebanyakan dari mereka juga berasa seronok melihat Khairy mempunyai banyak masa terluang untuk hadir menyokong pasukan Harimau Malaya.
.