Malaysia Dateline

Penyokong, media berkumpul di perkarangan kediaman rasmi Shafie Apdal

Orang ramai dilihat berkumpul di perkarangan kediaman rasmi Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di Rumah Yayasan Sabah, Kota Kinabalu sejak pagi tadi.

Kehadiran penyokong bekas Ketua Menteri itu turut disertai kumpulan pengamal media ketika siapa Ketua Menteri baharu masih menimbulkan teka-teki.

Dipercayai semua pemimpin tertinggi termasuk Mohd Shafie masih sedang berada di dalam Rumah Yayasan Sabah namun masih belum ada sebarang perincian mengenai pertemuan terbabit.

Tengah hari tadi, Pengerusi DAP Sabah, Datuk Frankie Poon Ming Fung dan Pengerusi PKR Sabah, Datuk Christina Liew dilihat meninggalkan Rumah Yayasan Sabah.

Pada PRN Sabah kelmarin, Warisan hanya memperoleh 23 kerusi DUN daripada 73 kerusi DUN yang dipertandingkan manakala DAP (6), PKR (2), UPKO (1) dan Bebas (3).

Sementara itu, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) membabitkan Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) memperoleh majoriti selepas meraih 38 kerusi.