Malaysia Dateline

Penyokong Najib juga kata kerajaan Muhyiddin tumbang

Selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin telah tumbang, penyokong Datuk Seri Najib Razak dalam Umno juga berkata perkara yang sama bahawa sekarang tidak ada lagi kerajaan yang sah selepas kerajaan Perikatan Nasional tumbang.

Datuk Lokman Noor Adam (gambar bawah) menerusi facebook live beliau berkata, hari ini tidak ada lagi kerajaan PN dan tidak ada kerajaan baharu atau pembubaran Parlimen kerana Yang Dipertuan Agong berada di Institut Jantung Negara (IJN).

“Ini kerana baginda belum menerima Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadap,” kata beliau malam tadi.

Oleh itu, katanya, jika rakyat negeri Sabah mahu mengundi parti yang juga kerajaan Persekutuan agar sama dengan kerajaan negeri, rakyat Sabah tidak boleh terikat begitu sekarang kerana kerajaan Persekutuan yang ada telah jatuh.

Bagi Lokman, Parlimen bila-bila masa sahaja boleh dibubarkan sekarang untuk memberikan laluan kepada pilihan raya umum.

Menurut beliau, apabila Yang Dipertuan Agong memanggil Anwar untuk menghadap, baginda akan meminta Anwar membawa bukti sokongan kepada beliau.

“Ketika itu, Ahli Parlimen Umno akan berkata mereka mahu Parlimen dibubarkan,” kata Lokman.

Sebelum ini, Anwar dikatakan mendapat majoriti dengan sokongan dari sebahagian MP Umno dan ia disahkan kemudiannya oleh Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Namun begitu, bagi Lokman, MP Umno akan meminta Yang Dipertuan Agong agar Parlimen di bubarkan.

 

PILIHAN RAYA UMUM KETIKA COVID MENGGANAS?

Tetapi, apakah pilihan raya umum akan diadakan sekarang menjadi tanda tanya dengan pengalaman apa yang berlaku di Sabah apabila pilihan raya diadakan, penularan Covid-19 tidak dapat dikawal dengan baik.

Oleh itu, faktor Covid 19 dijangka akan menjadi pertimbangan Yang Dipertuan Agong apakah Malaysia boleh menghadapi pilihan raya umum sekarang atau tidak.

Semalam, negara mencatatkan 107 kes Covid 19 yang baharu dengan 97 darinya adalah di Sabah. 67 dari kes baharu di Sabah itu adalah di kalangan penduduk tempatan manakala selebihnya warganegara asing.

Kempen pilihan raya Sabah berakhir semalam dan lebih sejuta pengundi Sabah yang layak akan mengundi hari ini.