Malaysia Dateline

Penyokong Pas diarah undi calon PN jika bertembung dengan calon BN

Pas menegaskan, penyokongnya akan memberikan undi kepada calon Perikatan Nasional (PN) jika berlaku pertembungan antara PN dengan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka.

Ia dinyatakan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika ditanya pemberita pada sidang media sempena Muktamar Pas ke-67 di Kuala Terengganu, hari ni.

“Strategi Pas pusat yang buat keputusan dan keputusan dibuat kita akan pakai logo PN.

“Kita akan undi PN lah. Pakai simbol sama. Kita tengok Umno pakai simbol apa,” katanya sebagaimana dilaporkan oleh Malaysiakini.

Hadi berkata demikian ketika ditanya berkenaan apakah pilihan penyokong Pas jika berlaku pertembungan antara calon Umno dan PN dalam PRN yang akan diadakan tak lama lagi.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata Pas berpendirian PN akan bertanding di semua kerusi di Melaka.

“Pendirian kita PN akan tanding semua, terpulang kepada Umno dia nak ikut PN atau nak bertanding sendiri. Kita tengok nama calon nanti.

“Amanatnya kita (kepada ahli) mendukung PN, dan Pas telah bersetuju akan bersama PN dalam pertandingan ini,” ujarnya.

Hari ini BN mengumumkan senarai calonnya di kesemua 28 kerusi DUN di Melaka. Umno akan bertanding di 20 kerusi, MCA dengan tujuh kerusi dan MIC dengan satu kerusi.

Timbalan Presiden Umno merangkap Pengarah Pilihan Raya BN Melaka, Datuk Seri Mohamad Hasan juga menjawab segala persoalan berhubung dengan kerjasama dengan parti lain, dengan berkata gabungan itu akan bergerak secara solo dalam PRN kali ini.