Malaysia Dateline

Penyokong pembangkang kecewa cerminkan sentimen rakyat

Mungkin pemimpin-pemimpin parti politik Pakatan Harapan (PH) tidak menyangka reaksi tajam daripada penyokong-penyokong mereka yang marah dan kecewa dengan apa yang berlaku di Dewan Rakyat, 27 November lalu.

Tetapi itulah yang berlaku apabila Ahli Parlimen PH tidak bangun untuk menolak Belanjawan 2021. 13 Ahli Parlimen yang berdiri itu berbuat demikian atas pendirian mereka sendiri dan bukan datang dari ketetapan PH.

Semua empat Ahli Parlimen Pejuang berdiri yang menunjukkan bahawa parti itu menolak Belanjawan 2021. Enam dari AMANAH atas sikap diri mereka dan bukannya parti.

Walaupun dari awal lagi AMANAH mengumumkan bahawa parti itu menolak Belanjawan 2021 tetapi oleh kerana tidak semua Ahli Parlimen AMANAH bangun, maka ia bukan pendirian parti.

Begitu juga dengan seorang dari DAP dan seorang dari PKR. Maknanya Ahli-Ahli Parlimen AMANAH, PKR dan DAP itu tidak mengikut arahan parti mereka supaya tidak berdiri. Hassan Karim dari PKR berkata, beliau berdiri kerana mengikut hati nurani atau conscience beliau.

Ini kerana PKR, DAP dan AMANAH adalah anggota PH. Arahan Ketua Pembangkang supaya tidak berdiri dikeluarkan pada saat akhir. Ia menimbulkan kekeliruan, tanda tanya, kekecewaan dan kemarahan bukan sahaja pada para penyokong PH tetapi Ahli Parlimen mereka.

Mengapa Ahli Parlimen Warisan tidak berdiri juga menimbulkan tanda tanya. Sedangkan Warisan tidak terikat dengan PH dan mereka lebih rapat dengan Pejuang yang jelas pendiriannya.

Reaksi tajam dari para penyokong PH yang disuarakan melalui media sosial itu mencerminkan sentimen mereka. Dari awal lagi mereka bukan sahaja menolak Belanjawan 2021 tetapi juga kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang mengambil kuasa tanpa mandat rakyat dengan menjatuhkan kerajaan PH.

Sentimen mereka juga mencerminkan pendirian sebahagian besar rakyat negara ini yang menolak PN. Cuma tidak diketahui banyak mana bilangan orang ramai yang menolak PN untuk membolehkan perubahan kerajaan pada pilihan raya umum akan datang.

Perlu diingat bahawa kehadiran Ahli-Ahli Parlimen Bersatu dalam dewan itu adalah atas undi penyokong-penyokong PH dalam Pilihan Raya Umum ke-14.

Rasa terkejut dengan reaksi tajam para penyokong PH dapat dilihat dengan langkah kawalan kerosakan atau damage control dari para pemimpin PH.

Mereka menjelaskan sebab-sebab mereka tidak berdiri pada saat-saat akhir. Tetapi para penyokong PH sudah tidak mempedulikan alasan-alasan itu. Malah, ada yang mempertikaikan kewibawaan kepimpinan Ketua Pembangkang.

Pemimpin DAP, Anthony Loke tampil mengaku pikul tanggungjawab dan meminta maaf. Ternyata reaksi tajam juga timbul dari para penyokong DAP. Ada seorang Ahli Parlimen DAP menyatakan beliau menolak Belanjawan itu walaupun tidak berdiri.

Dalam keadaan ini, timbul persoalan mungkinkah apa yang berlaku Khamis, 26 November lalu itu adalah sebahagian daripada permainan politik persaingan antara Anwar Ibrahim dan Dr Mahathir Mohamad yang tidak berkesudahan?

Dalam menolak belanjawan itu, Mahathir mempunyai fokus. Bukan sahaja kerana kelemahan belanjawan itu tetapi juga kedudukan kerajaan PN itu sendiri. Bagaimanakah sebuah kerajaan yang tidak memenangi pilihan raya boleh dibentuk begitu saja tanpa mandat rakyat?

Segala usaha untuk memulihkan mandat rakyat telah gagal kerana ketiadaan kesepakatan antara Anwar dan Mahathir. Keadaan ini amat mengecewakan para penyokong PH.

Maka, keputusan Anwar untuk tidak berdiri juga boleh dilihat sebagai tindakannya yang bertentangan dengan apa yang dilakukan oleh Mahathir. Maknanya Mahathir hanya mampu mendapat 12 orang berdiri bersama dengannya. Sementara Ahli Parlimen pembangkang yang lain bersama Anwar.

Sememangnya, hanya tiga Ahli Parlimen yang bersama Mahathir ketika berdiri. Ahli-Ahli Parlimen AMANAH yang berdiri adalah atas kapasiti diri mereka walaupun parti itu pada awalnya telah menolak belanjawan berkenaan.

Namun, tindakan mereka berdiri boleh menimbulkan dakwaan bahawa mereka adalah pro-Mahathir. Ini kerana AMANAH dituduh sedang dilanda perpecahan antara yang menyokong Anwar dengan yang mesra Mahathir. Sementara Ahli Parlimen PKR dan DAP yang berdiri itu atas keputusan sendiri dan bukan kerana menyokong Mahathir.

Mahathir sudah hilang banyak penyokongnya. Ahli-ahli Parlimen Bersatu meninggalkannya untuk menubuhkan kerajaan PN yang dibentuk bersama Umno.

Sementara yang tidak mengikut Bersatu pula juga meninggalkan Mahathir. Dr Maszlee Malik tidak menyertai Pejuang tetapi memberi sokongan pada Anwar. Sementara Syed Saddiq yang diangkat oleh Mahathir juga meninggalkan beliau.

Beliau menubuhkan Parti Muda. Ketika orang lain sibuk menentang belanjawan, beliau pergi berjumpa dengan Najib Razak. Semua itu menimbulkan kekecewaan pada penyokong pembangkang.

Anwar lagi banyak kehilangan Ahli Parlimen. Sebahagian Ahli Parlimen PKR keluar parti dan menjadi tonggak kepada kerajaan PN dengan menyertai Bersatu. Bagi para penyokong PH, mereka adalah pengkhianat mandat rakyat.

Ada yang menyatakan bahawa keengganan Anwar untuk turut berdiri adalah kerana tidak yakin memperoleh bilangan Ahli Parlimen yang cukup untuk menunjukkan beliau memiliki Ahli Parlimen yang mencukupi berbanding pihak PN. Tetapi itu hanya berupakan andaian politik.

Apa pun yang berlaku, Khamis lalu merupakan tamparan bagi pembangkang dan PH. Bagi PN pula, ternyata mereka mampu terus memerintah dengan mengekalkan keadaan di mana PH dan pembangkang berbalah sesama sendiri. Bagi mereka, dalam pilihan raya umum akan datang, PN akan mengukuhkan kedudukan dan menstabilkan politik negara.

Bersatu dengan sokongan Pas dalam kerangka PN akan mengimbangi kuasa bersama Umno dengan sokongan parti Sarawak dan Sabah. Barisan Nasional (BN) akan berusaha untuk kembali menjadi kerajaan tetapi akan dihalang oleh Bersatu.

Bagi Bersatu, apa yang penting adalah menghalang Anwar dan PH daripada berkuasa. Sementara Mahathir pula, zamannya sedang berlalu.

Bagi para penyokong PH yang mahukan perubahan besar bagi negara, mereka melihat PN adalah parti yang mengekalkan dan meneruskan cara politik lama BN. Perubahan yang diperkenalkan oleh PH sebelum ini telah dimusnahkan.

Walaupun pada mulanya Bersatu ditubuhkan untuk menggantikan Umno dan memurnikan perjuangan Melayu tetapi kerjasamanya dengan Umno dan Pas menunjukkan ia hanya mahu kembali kepada cara berpolitik lama.

Bekas Ahli Parlimen PKR yang kini bersama Bersatu pula sudah tiada idealisme perjuangan ketika mana mereka berada dalam parti lama. Apa yang menjadi pertimbangan sekarang ialah kuasa dan pragmatisme dalam menghadapi sesuatu isu.

Pun begitu, perjuangan tidak boleh dihentikan selagi ada keburukan dan penyelewengan. Banyak penyokong PH merupakan orang yang menolak amalan politik BN sepanjang hayat mereka.

Daripada Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat hinggalah pada Pakatan Harapan. Sudah tentu pendirian ini akan diteruskan walaupun apa yang akan terjadi.

Impian untuk menjadikan Malaysia lebih baik, bebas korupsi, bersih, tanpa penyelewengan tetap ada. Walaupun terdapat pelbagai gelagat mengecewakan daripada pemimpin pembangkang, tetapi para penyokong terpaksa menerima bahawa itulah sahaja ahli politik yang ada. Maka perjuangan tetap diteruskan tanpa putus asa. Para penyokong hanya mampu memberi undi dan bersorak.

Khamis lalu juga menunjukkan pada para pemimpin pembangkang supaya tidak memperkecilkan atau meremehkan sentimen para penyokong. Suara para penyokong ini adalah cerminan bagi hati nurani rakyat.

*ZIN MAHMUD berpengalaman luas dalam dunia kewartawanan sejak awal 1980-an, bekas pengarang Mingguan Malaysia, bekas pengarang kumpulan Harakah dan pernah menerbitkan majalah Dunia Islam.