Malaysia Dateline

Penyokong PH tolak kerjasama dengan Umno?

Apabila tersiar berita bahawa Anwar Ibrahim menyatakan kemungkinan Pakatan Harapan mengadakan kerjasama dengan Umno, ia menimbulkan rasa tidak senang di kalangan penyokong-penyokong pembangkang.

Sebagai ketua PH, beliau mungkin mengemukakan cadangan itu dengan melihat senario politik negara beserta percaturan siasah yang memerlukan kreativiti dalam usaha mendapatkan kuasa.

Hakikatnya ialah Umno mampu menentukan siapa akan menjadi kerajaan selepas pilihan raya umum ke-15 nanti, iaitu sama ada Perikatan Nasional atau PH menjadikannya sebagai rebutan. Itupun dengan Umno mahu kembali berkuasa sendiri.

Tetapi PH bukanlah terdiri daripada ketuanya saja. Ia terdiri daripada PKR, DAP dan AMANAH yang mempunyai dinamik politik masing-masing. Dan setiap parti pula terdiri daripada pelbagai lapisan manusia. Di atas sekali tentunya ketua masing-masing, diikuti dengan barisan kepimpinan yang mempunyai hierarki juga, peringkat pusat, negeri, kawasan dan cawangan atau cabang. Bukan itu saja, setiap parti bukan hanya terdiri daripada ahli politik semata-mata. Di dalamnya ada aktivis dan ahli. Di luarnya pula ada penyokong dan akhirnya pengundi yang akan menjadi penentu kepada kemenangan calon parti.

Setiap parti mempunyai budaya tersendiri yang berbeza di antara satu sama lain walaupun mereka bersama dalam satu pakatan. Sementara itu, barisan pimpinan, ahli politik, aktivis, penyokong dan pengundi masing-masing mempunyai kepentingan dan pandangan yang berbeza di antara satu sama lain walaupun berada dalam parti sama.

Sementara hakikat bahawa mengapa seseorang itu mendokong sesebuah parti atau pakatan juga perlu diambil kira. Ia bukan saja membabitkan fahaman, personaliti ketua sesebuah parti, percaturan bagi memperoleh kuasa tetapi juga soal emosi daripada pengalaman seseorang penyokong terhadap politik negara. Dalam hal ini tentulah generasi berlainan akan mempunyai pandangan politik yang berbeza. Umpamanya, mereka yang menentang Umno sejak tahun 1982 tentulah mempunyai pandangan berbeza daripada yang baru melawan parti itu pada tahun 1998. Pengalaman mereka, termasuk sakit hati lebih panjang. Tambahan pula bagi generasi muda yang celik politik hanya menjelang pilihan raya umum tahun 2018 tentu tidak melalui zaman ISA dan kongkongan media.

Kepentingan ahli politik, aktivis, penyokong dan pengundi juga berbeza. Bagi ahli politik, jika pakatan menang tentulah memperoleh jawatan untuk mentadbir kerajaan. Sebahagian aktivis tertentu akan juga dilantik. Tetapi. sebahagian besar aktivis, ahli dan penyokong akan berpuas hati bila pakatan partinya menang dan dapat melaksanakan isi perjuangan politik. Sementara pengundi yang membolehkan kemenangan itu pula mengharapkan janji-janji manifesto dapat ditunaikan.

Setelah melihat kepentingan yang berbeza ini, maka tentulah fokus terhadap politik juga berlainan. Bagi sebahagian ahli politik, kuasa adalah segalanya. Hujah mereka ada benarnya. Tanpa kuasa politik, segala aspirasi politik tidak dapat dicapai. Hanya menjadi kerajaan, barulah politik itu bermakna. Jika terus menjadi pembangkang, apa yang dapat dilakukan hanya bersuara dalam parlimen.

Tetapi untuk mendapat kuasa, seseorang perlu berpolitik. Sebab itu istilah lama bagi politik ialah siasah. Perkataan ini yang mempunyai asal usul sama dengan siasat membawa maksud juga percaturan. Seperti bermain catur, politik adalah seni bagi memperoleh kuasa. Ia boleh dicapai bukan saja melalui pilihan raya tetapi juga pakatan dan kompromi dengan pelbagai pihak.

Maka tidak hairanlah, perhatian ahli politik bukan saja untuk memenangi pilihan raya dengan memperoleh kerusi terbanyak tetapi juga rundingan pembahagian kawasan dengan pelbagai parti, termasuk dari pihak yang asalnya adalah musuh.

Tetapi bagi penyokong ,perhatian mereka adalah berbeza. Penyokong pula muncul dalam pelbagai bentuk. Ada yang menjadi aktivis dan ahli sementara kebanyakannya pula hanyalah orang ramai, antaranya pengundi. Mereka mempunyai perasaan berbeza daripada ahli politik.

Bagi yang menyokong kepimpinan Anwar, soal bekerjasama dengan Umno tidak menjadi isu besar. Asalkan akhirnya Anwar menjadi Perdana Menteri, mereka tidak ada masalah untuk mengundi PH dan Umno. Begitu juga dengan penyokong tegar PKR dan PH. Kalau kepimpinan PKR dan PH sudah buat keputusan, mereka sedia patuh. Tetapi tidak bagi penyokong-penyokong bukan tegar PKR dan PH. Begitu juga bagi penyokong DAP dan AMANAH. Mereka tidak mudah menyokong sesuatu keputusan para pemimpin PH, terutamanya dari parti lain. Maka dalam soal kerjasama dengan Umno, mereka perlu diyakinkan. Penerangan oleh para pemimpin kepada penyokong perlu diberikan melalui pertemuan bersemuka, bukan sekadar melalui media sosial. Sesuatu yang sukar dilakukan dalam suasana wabak Covid-19.

Umumnya sentimen penyokong DAP dan AMANAH ialah mereka tidak boleh menerima kerjasama dengan Umno. Perkara ini pastinya disedari oleh pemmpin parti masing-masing dan kenyataan pun telah dikeluarkan yang mencerminkan perkara ini.

Kesukaran untuk menerima kerjasama dengan Umno ini dapat difahami. Dalam sejarahnya selama 55 tahun, DAP berjuang melawan Umno. Undangan Umno pada DAP supaya menyertai Barisan Nasional pun ditolak. Banyak penyokong AMANAH pula melawan Umno sejak tahun 1980-an. Mereka meninggalkan Pas dan menyokong AMANAH adalah antara lain kerana parti lama mereka mahu bekerjasama dengan Umno.

Timbul persoalan mengapakah mereka boleh menerima Bersatu semasa di bawah pimpinan Dr Mahathir Mohamad tetapi menolak Umno pula?

Beliau dilihat menekan pembangkang selama 22 tahun pemerintahannya dan tentulah ia mengundang tentangan. Tetapi ada tiga sebab mengapa penyokong PH boleh menerima Mahathir dan Bersatu menjelang pilihan raya tahun 2018.

Pertama, beliau juga menentang Umno yang ketika itu adalah kerajaan. Kedua, ketokohan beliau sebagai pemimpin negara adalah dihormati walaupun di kalangan lawan. Ketiga, beliau fokus menentang kleptokrasi yang berkaitan dengan skandal 1MDB.

Tetapi Umno kini tidak seperti Bersatu di bawah pimpinan Mahathir. Parti itu kini mendukung kerajaan Perikatan Nasional yang ditubuhkan setelah ahli politiknya menumbangkan kerajaan PH. Umno masih tidak berubah, ia dianggotai oleh ahli-ahli yang menyokong bukan saja kepimpinan tetapi budaya lama. Perkara yang menyebabkan penyokong PH menolak BN dalam pilihan raya umum 2018 setakat ini masih belum selesai.

Setelah Umno tidak ada dalam tampuk utama kerajaan, tanpa menafikan jasanya, banyak orang lupa mengenai keburukan yang parti itu bawa selama pemerintahannya sejak merdeka. Generasi baharu tentu tidak mengenali mereka. Dalam rekod, hanya ada cerita baik kerana pada zaman pra-Internet, maklumat ditapis dan dikongkong.

Ada hujah menyatakan bahawa jika tiada kerjasama dengan Umno, maka PH tidak akan menang. Maknanya Umno akan bekerjasama dengan PN untuk terus menjadi kerajaan. Ini bermakna PH selamanya akan kekal sebagai pembangkang. Ekoran daripada itu, Anwar pun tidak akan menjadi Perdana Menteri.

Tetapi andai kata PH menang atas kerjasama dengan Umno, maka kerajaan yang ditubuhkan adalah berbentuk campuran PH dan BN. Walaupun katakan Anwar yang menjadi Perdana Menteri, kehadiran Umno dalam kerajaan pastinya menjejaskan reformasi penuh pemerintahan. Bagi banyak penyokong PH, keadaan ini hanya membuatkan perjuangan ini sia-sia.

Maknanya apa yang para penyokong kehendaki ialah pemimpin PH memberikan hujah dan penjelasan untuk meyakinkan keperluan kerjasama dengan Umno. Jika gagal, penyokong akan menolak kerjasama dengan parti yang mereka benci itu. Pemimpin dan penyokong mempunyai peranan masing-masing. Tetapi akhirnya pengundi yang menentukan ahli parlimen mereka.