Perahu Jong dijadikan permainan tradisi masyarakat

Perahu Jong yang dipertandingkan.

Permainan adat masyarakat yang berada di pinggir laut seperti Perahu Jong mahu diangkat sebagai tradisi permainan rakyat di negeri Johor.

Mengulas lanjut akan hal itu, Speaker Dewan Negeri Johor, YB Suhaizan Kaiat berkata, permainan itu kini mulai mendapat tempat di hati masyarakat.

Beliau berkata ketika berucap di Pertandingan Perahu Jong Tanjung Piai, Johor, aktiviti tradisi ini adalah sesuatu yang perlu dikembangkan lagi.

“Perahu Jong adalah suatu permainan yang menarik. Selain keberatan perahu serta layar Jong, peserta juga mesti cekap untuk membaca angin.

“Pertandingan sebegini dilihat unik dan ia juga mampu mempamerkan jati diri negara ini. Ia boleh dijadikan sebagai aktiviti untuk menarik pelancong ke Johor,” kata Suhaizan.

Suhaizan Kaiat ketika berucap pada Program Pertandingan Perahu Jong yang diadakan di Tanjong Piai.

Beliau turut memberi pandangan serta cadangan agar pertandingan Perahu Jong ini di komersialkan untuk mendapat perhatian umum.

Selain menjadikan tradisi masyarakat khususnya di pinggir laut, beliau turut mencadangkan permainan ini dibuka ruang kepada pembabitan anak muda dengan mewujudkan kategori perahu berteknologi.

“Sekiranya Perahu Jong ini mendapat sambutan, hasilnya itu akan diperolehi oleh negeri dan penduduk kampung. Hasil yang dimaksudkan adalah peluang meningkat ekonomi masyarakat tempatan.

“Kita juga akan mencadangkan untuk membuka lagi peluang kepada minat serta meluaskan lagi pengaruh permainan ini hingga mempelawa negara luar untuk turut serta.

“Selain itu, permainan ini boleh menarik minat anak muda untuk turut menceburi bidang ini seperti pengubahsuaian perahu tersebut ke arah berteknologi,”ujarnya.

Pertandingan Jong tersebut turut dihadiri oleh Menteri Pertanian dan Industri Asa Tani Datuk Salahuddin Ayub serta ketua jabatan yang berkaitan.

CATEGORIES
TAGS